Tabiat Tidur Lambat Boleh Datangkan 5 Kesan Buruk Ini. Jangan Pandang Enteng!
Peningkatan berat badan dan masalah kulit antara risiko yang bakal dihadapi sekiranya individu memilih untuk tidur lambat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidur merupakan satu proses istirahat semulajadi buat semua jenis hidupan setelah penat bekerja dan melakukan aktiviti harian.
Ia merupakan proses yang penting kerana pada ketika ini tubuh badan dan semua organ yang bekerja di siang hari mendapat rehat yang secukupnya.
Bagi manusia, tempoh untuk tidur adalah berbeza bergantung kepada umur, jantina dan keadaan kesihatan tubuh manusia itu sendiri.
Centers for Disease Control and Prevention (CDC) turut menetapkan tempoh yang sesuai bagi manusia untuk tidur berdasarkan umur individu. Contohnya seperti bayi yang memerlukan 14 hingga 17 jam sehari, remaja memerlukan lapan hingga 10 jam sehari dan golongan dewasa pula adalah tujuh hingga sembilan jam sehari.
Namun, tidak semua individu khususnya golongan muda mengikuti waktu tidur yang ditetapkan. Tahukah anda, jika anda gemar tidur lewat, anda berisiko untuk menghadapi lima perkara ini?
Jom kami kongsikan lima risiko tersebut untuk pengetahuan anda.
#1 Berisiko Untuk Mendapat Alzheimer & Nyanyuk
Buat anda yang gemar tidur lewat, anda berisiko untuk menghidapi penyakit Alzheimer atau nyanyuk.
Ini kerana ketika waktu tidur, berlaku proses seperti penyatuan memori, pemprosesan emosi dan proses pembersihan mendalam pada otak manusia.
Oleh itu, bagi memastikan proses ini dapat dijalankan dengan baik, tidur yang mencukupi dan konsisten adalah perlu.
Kekurangan waktu tidur juga boleh menyebabkan anda hilang fokus dan memori menjadi tidak kuat berbanding individu yang tidur secara normal.
#2 Menghadapi Masalah Kulit
Selain mata, individu yang tidur lewat juga boleh dikesan melalui keadaan kulitnya. Antara tanda yang paling biasa dan mudah untuk dikesan adalah jerawat akan tumbuh dengan banyak di bahagian muka.
Malah, ada kajian yang menunjukkan terdapat hubungan di antara waktu tidur dengan pertumbuhan jerawat. Kekurangan tidur boleh mengakibatkan badan tidak dapat mengawal hormon selain merosakkan sistem imun dalam badan individu.
Tidur yang kurang juga boleh meningkatkan keradangan menerusi sistem badan anda. Keadaan ini boleh menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif dan mudah terdedah dengan penyakit kulit seperti ekzema dan psoriasis.
#3 Peningkatan Berat Badan
Tidur yang mencukupi juga sebenarnya boleh mempengaruhi berat badan anda. Semasa tidur, badan dapat mengawal hormon ghrelin dan leptin yang berfungsi untuk mengawal rasa lapar.
Namun, tidur yang tidak mencukupi boleh menganggu hormon ini hingga menyebabkan tubuh akan kerap berasa lapar dan cenderung untuk makan lebih daripada keperluan.
Keadaan ini sekaligus akan menyebabkan berat badan anda naik dengan mendadak. Jadi, jika ingin mendapatkan berat badan yang ideal, anda disarankan untuk tidur awal dan mencukupi.
#4 Mempercepatkan Penuaan
Nak nampak muda sentiasa? Tidur yang cukup adalah jawapannya. Ini kerana individu yang suka tidur lewat dengan tempoh waktu yang tidak cukup cenderung untuk kelihatan lebih tua dari usia.
Ketika tidur, berlaku peningkatan hormon pertumbuhan yang membolehkan sel-sel baharu bagi mengganti semula sel yang lama.
Tanpa tidur yang lena atau tidak cukup waktu tidur, kulit anda tidak akan dapat manfaaat sepenuhnya daripada pertumbuhan sel-sel baru ini.
#5 Ketinggian Terbantut
Hormon tumbesaran manusia atau lebih dikenali sebagai human growth hormone (HGH) merupakan sebahagian hormon yang penting dalam pertumbuhan setiap individu.
Kebiasaannya, hormon ini akan dilepaskan oleh otak semasa tidur. Bagi menyuntik pembebasan hormon ini, seseorang itu perlu mendapatkan tidur yang mencukupi.
Bagi golongan dewasa, tempoh utama pembebasan HGH adalah ketika tempoh tidur berada pada tahap ketiga. Oleh sebab itu anda disarankan untuk tidur lebih awal dan mendapatkan tidur yang mencukupi bagi membantu pertumbuhan yang lebih baik.
Kesimpulannya, tidur yang mencukupi sememangnya memberi kesan yang baik kepada tubuh badan manusia. Buat anda yang sering tidur lewat dan tidak cukup waktu tidur, apa kata ubah gaya tidur anda bermula hari ini.
Percayalah, anda pasti akan merasa perubahan dalam kehidupan seharian. Selamat mencuba!
Baca Artikel Berkaitan: Dah Mengantuk, Tapi Mata Susah Nak Lelap? Ini 7 Tips Untuk Mudah Tidur
Baca Artikel Berkaitan: Cuaca Terlalu Panas Hingga Sukar Nak Tidur? Ini 5 Tips Untuk Anda