PRN: “Pengundi Hantu Itu Wujud” – Wanita Di Kedah Kecewa Tak Dapat Mengundi, Dakwa IC Diguna Individu Lain
Kecewa tidak dapat mengundi pada PRN kali ini, Rozana mendakwa dia sudah membuat laporan polis di Padang Serai, Kedah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (12 Ogos), rata-rata rakyat Malaysia di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Selain memeriksa kawasan pusat undi dan nombor saluran di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi juga diwajibkan untuk membawa Kad Pengenalan (IC) untuk melakukan semakan sebelum mengundi.
Wanita luah rasa kecewa tak dapat mengundi
Pun begitu, seorang wanita di Padang Serai, Kedah mendakwa tidak dibenarkan mengundi kerana kad pengenalan miliknya telah diguna oleh individu lain sebelum itu.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Rozana Mokhtar, wanita terbabit pada awalnya telah bersemangat untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Mahsuri, Padang Serai.
Petugas SPR terkejut, IC milik wanita itu telah digunakan untuk mengundi
Bagaimanapun dakwanya, sewaktu mahu membuang undi, petugas SPR yang memeriksa Kad Pengenalan wanita itu terkejut apabila mendapati ada individu telah membuang undi menggunakan IC atau MyKad miliknya terlebih dahulu.
“Semangat pagi ini nak pergi mengundi, elok pula orang tak ramai terus masuk je. Bagi lah IC dekat petugas.
“Mereka check nama lepastu mereka terkejut lah juga bagitau dah ada yang datang mengundi tadi guna IC ini,” tulisnya di kapsyen.
Tak dapat mengundi, terpaksa buat laporan polis
Susulan kejadian itu, wanita terbabit mendakwa tidak dapat mengundi dan terpaksa membuat laporan polis dengan segera.
“Nama sama boleh terima lagi, ni IC sama kot. Tak pasal kena buat laporan polis.
“Sesungguhnya pengundi hantu itu wujud tau, kecewa tak tahu nak cerita, geram semua ada,” tulisnya lagi.
Menerusi foto yang dikongsikan, Rozana yang mengundi bagi DUN Lunas difahamkan telah membuat laporan polis di Balai Polis Padang Serai, Kedah.
[Terkini] Polis sahkan terima 3 laporan
Terbaharu, polis mengesahkan sudah menerima tiga laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah.
Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh, dua laporan berkenaan diterima di daerah Kulim manakala satu laporan di daerah Kuala Muda.
Jelasnya dua wanita tidak berpuas hati apabila dimaklumkan petugas SPR bahawa namanya telah ditanda untuk mengundi menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu, masing-masing berlaku di Kulim dan Kuala Muda.
“Kes lain di Kulim pula melibatkan seorang lelaki yang mendakwa namanya telah digunakan oleh orang lain untuk mengundi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Sehubungan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi ketiga-tiga kes berkenaan.