fbpx
Now Reading
Wanita Bawa 3 Anak Balik Kampung Sehelai Sepinggang Selepas Dihalau Suami OKU & Ibu Mertua

Wanita Bawa 3 Anak Balik Kampung Sehelai Sepinggang Selepas Dihalau Suami OKU & Ibu Mertua

Menurut platform MarhaenMY, ibu kepada tiga orang anak itu kini menetap di rumah keluarganya atas belas kasihan terhadap anak-anaknya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang wanita berdepan ujian berat dalam hidupnya apabila terpaksa menyara tiga orang anak yang masih kecil sehelai sepinggang selepas dihalau ibu mertua dan suami di sebuah rumah flat di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Nur Hafizah itu, dia sebelum ini bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Keramat dengan gaji RM2,200 setiap bulan.

Terpaksa bawa anak-anak keluar dari rumah selepas gaduh dengan ibu mertua

Namun, malang menimpa dirinya apabila terpaksa membawa tiga anaknya keluar daripada rumah ketika waktu malam dalam keadaan sehelai sepinggang selepas berlaku pertengkaran di antara dia dan ibu mertuanya pada 10 Julai lalu.

“Malam selepas balik kerja saya dan anak-anak dihalau oleh ibu mertua dan suami untuk keluar daripada rumah kerana ada petengkaran di mana mertua saya yang memulakan pergaduhan.

“Saya dan anak-anak keluar dalam keadaan sehelai sepinggang dan saya sempat membawa anak-anak berusia 5 tahun, 2 tahun dan 4 bulan,” katanya.

Penduduk flat benarkan Hafizah tinggal di dewan komuniti buat seketika

Selepas dihalau, penduduk flat berkenaan yang bersimpati dengan nasib Hafizah telah membenarkan wanita itu untuk tinggal buat sementara waktu di dewan komuniti berdekatan.

Hafizah yang tiada pilihan lain akhirnya memutuskan untuk pulang ke kampungnya di Gurun, Kedah selepas tiga hari menetap di dewan komuniti flat terbabit.

Hafizah terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan

Difahamkan Hafizah terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan selepas dihalau keluar rumah dengan hanya mendapat gaji terakhirnya sebanyak RM1,500 sahaja.

Ibu kepada tiga orang anak itu kini menetap di rumah keluarganya atas belas kasihan terhadap anak-anaknya.

Foto: MarhaenMY

“Saya terpaksa mencari sedikit wang sekurang-kurangnya RM1,000 deposit motosikal untuk saya bekerja dan terus menyara anak-anak saya sendiri. Keluarga saya tiada motosikal di rumah.”

Nur Hafizah

Bapanya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji bulanan RM1800 manakala ibunya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan bayaran RM200 setiap bulan.

Difahamkan, Hafizah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM550 setiap bulan yang hanya dapat digunakan untuk membeli susu dan lampin buat anaknya serta sedikit barangan keperluan dapur untuk keluarga.

Suami terjebak dengan dadah sejak 5 tahun dahulu

Hafizah yang telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun itu mendakwa suaminya sudah lima tahun terjebak dengan penagihan dadah.

“Dia dulu bekerja makan gaji selama enam tahun bawa lori lepas itu dia dah tak kerja dan tak nak bekerja. Dia juga OKU (Orang Kurang Upaya) kaki kudung sebelah dan ada akaun Lalamove tetap juga tak nak bekerja.

“Dia ada kencing manis dah empat tahun dan kaki kena potong. Suami terpengaruh dengan rakan-rakan sekerja untuk menagih dadah,” ujarnya.

Permohonan bantuan Zakat masih dalam proses

Berkongsi lanjut, Hafizah juga memaklumkan dia ada memohon bantuan Zakat yang kini masih di dalam proses.

Bagi anda yang sudi memberi sedikit bantuan kepada Hafizah serta anak-anaknya bolehlah membuat sumbangan menerusi platform Marhaen di sini.

“Bagaimana aku takut akan kemiskinan sedangkan aku adalah seorang hamba dari yang Maha Kaya.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.