Gara-Gara Makan Ikan Tilapia Tak Dimasak Sempurna, Kaki & Tangan Wanita Terpaksa Dipotong
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit turut menasihatkan orang ramai agar tidak memakan makanan cengkerang yang mentah bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Vibrio Vulnificus.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kerana makan ikan Tilapia yang tidak dimasak dengan betul, anggota badan seorang ibu di California terpaksa dipotong.
Wanita yang dikenali sebagai Laura Barajas berusia 40 tahun telah membeli ikan berkenaan di pasar tempatan di San Jose pada Ogos lalu.
Dia kemudian memasak ikan tersebut dan memakannya di rumah, jelas rakannya Anna Messina yang menulis kisah itu di kempen GoFundMe.
Wanita kena virus Vibrio Vulnificus dan beberapa anggota badan terpaksa dibuang
Menurut Messina, Barajas telah diserang jangkitan bakteria Vibrio Vulnificus dan ditahan lebih sebulan selain kaki dan tangannya turut terpaksa dibuang pada 13 September lalu.
“Kami secara hormatnya meminta bantuan kepada sebuah keluarga yang sedang menghadapi saat yang mencabar.
“Apa yang berlaku kepada mereka boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan sama-sama kita boleh melakukan perubahan,” ujar Messina, lapor Insider.
Setakat ini kutipan wang bagi membantu keluarga Laura telah mencecah USD79,748 (RM375,00).
Pada 1 September, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan satu nasihat kesihatan yang memberi amaran mengenai jangkitan bakteri Vibrio Vulnificius di Amerika Syarikat yang semakin meningkat disebabkan peningkatan suhu air.
Bakteria Vibrio Vulnificus hidup di dalam air
Jelas CDC, Vibrio Vulnificus adalah sejenis bakteria yang hidup di perairan yang lebih panas di Teluk Mexico.
Katanya, bakteria ini telah menyebabkan lebih kurang 80,000 penyakit di negara tersebut pada setiap tahun.
Tanda-tanda kena jangkitan Vibrio Vulnificus dan dinasihatkan elak makan makanan cengkerang mentah
Antara tanda-tanda diserang kuman Vibrio Vulnificus adalah :
- Mengalami cirit-birit
- Kejang perut
- Loya, muntah dan demam
- luka yang dijangkiti kuman tersebut juga akan kelihatan kemerahan, sakit, bengkak, panas, berlaku perubahan warna dan juga discaj.
Walau bagaimanapun menurut CDC jangkitan ini kebiasaanya berlaku sekiranya seseorang memakan makanan yang tidak dimasak dengan betul atau mentah seperti tiram dan makanan laut bercengkerang lain.
“Jangan makan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan betul seperti tiram atau makanan bercengkerang yang lain. Pastikan ia masak sebelum dimakan.
“Sentiasa basuh tangan menggunakan sabun dan air selepas mengendalikan makanan bercengkerang yang mentah,” kata CDC lagi.
Selain itu, agensi berkenaan turut mencadangkan individu yang mempunyai luka untuk berada jauh dari air laut masin bagi mengelakkan diri dijangkiti Vibrio.
Menurut laporan FOX26, di Galveston, Texas seorang lelaki telah dilaporkan meninggal dunia ketika Minggu Hari Pekerja selepas dia memakan tiram yang tercemar dengan virus yang sama pada 29 Ogos.