Tular Kanak-Kanak 2 Tahun Lintas Jalan & Nyaris Dilanggar, Rupanya Ibu Tak Sedar Anak Keluar Kereta [Video]
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, si ibu telah dipanggil dan diberikan peringatan tentang aspek keselamatan kanak-kanak. Namun setakat ini tidak dikenakan apa-apa tindakan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Sejak semalam (22 Sept) tular di media sosial video rakaman dashcam memperlihatkan seorang kanak-kanak perempuan nyaris dilanggar kenderaan di hadapan sebuah sekolah di Melaka.
Menerusi video tular itu, kanak-kanak terbabit yang dipercayai berusia sekitar dua tahun keluar dari sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan secara bersendirian lalu melintas jalan yang sedang dipenuhi kenderaan.
Tindakan kanak-kanak berkenaan menyebabkan dia nyaris dilanggar, namun respon pantas pemandu berkenaan memberhentikan kenderaan berjaya mengelakkan insiden tersebut berlaku.
Pun begitu pemilik dashcam telah dirempuh oleh sebuah kenderaan yang gagal membrek di belakangnya.
Polis terima laporan kemalangan babitkan Myvi dan Honda CBR 250
Terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan laporan kemalangan telah dibuat oleh mereka yang terlibat dalam kemalangan itu iaitu seorang guru dan operator kilang.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, pemilik dashcam yang memandu kereta jenis Perodua Myvi merupakan seorang guru dan sedang dalam perjalanan ke Lendu sewaktu insiden pada 21 September itu.
“Setibanya di Jalan Melaka Pindah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah dia melihat seorang kanak-kanak meluru melintas jalan raya.
“Dia kemudian telah memberhentikan kenderaan secara mengejut menyebabkan sebuah motosikal Honda CBR 250 yang datang dari arah belakang melanggar keretanya,” katanya dipetik dari Kosmo.
Insiden yang berlaku sekitar jam 6.51 pagi itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit yang berusia 28 tahun mengalami luka-luka kecil.
Foto: Via Sinar Harian
Ibu tak sedar anak keluar
Tambah beliau lagi, si ibu yang memberhentikan kenderaan untuk menghantar seorang lagi anaknya di sekolah berkenaan tidak menyedari si kecil keluar dari kenderaan mereka.
Sehubungan itu wanita terbabit telah dipanggil dan diberikan peringatan tentang aspek keselamatan kanak-kanak. Namun beliau tidak menolak kemungkinan jika terdapat arahan lanjut untuk mengambil tindakan ke atas kecuaian yang berlaku.
Kes kini disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).