Baru 13 Tahun Tapi ‘Multitasking’, Ramai Nak Jadikan Remaja Lelaki Ini Sebagai Menantu [Video]
Menurut Nurzatul Asmyda Ahmad Zailani, adiknya yang merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik itu memang suka berdikari dan menghabiskan masa hujung minggu dengan melakukan kerja-kerja kampung.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kecanggihan teknologi pada masa kini sememangnya memudahkan kehidupan seharian. Contohnya fungsi telefon bimbit yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan masa lalu.
Dulu, ia hanya berfungsi sebagai alat perhubungan namun kini, fungsi telefon bimbit itu telah diperluas menjadi peralatan pintar yang membolehkan individu melakukan kerja harian atau membeli belah.
Malah, alat ini juga turut digunakan oleh kebanyakan kanak-kanak dan remaja sebagai hiburan pada masa lapang.
Namun, penggunaan gajet yang berlebihan sememangnya boleh memberi kesan yang tidak baik kepada pengguna antaranya seperti kurang bergaul dengan orang ramai selain tidak berkemahiran tinggi.
Habiskan Masa Dengan Melakukan Kerja-Kerja Kampung
Berbeza dengan remaja lain yang kebanyakannya terikat dengan gajet dan kebergantungan kepada teknologi, seorang remaja lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Nur Hakim Ahmad Zailan menjadi perhatian ramai kerana dilihat serba boleh melakukan pelbagai kerja kampung.
Menurut kakak remaja itu yang dikenali sebagai Nurzatul Asmyda Ahmad Zailani, adiknya yang merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik itu memang suka berdikari dan menghabiskan masa hujung minggu dengan melakukan kerja-kerja kampung.
“Adik saya memang rajin kerana kalau tak ikut ayah yang memandu lori, dia akan buat kerja kampung.
“Kerja rumah pun dia rajin buat malah emak tak perlu pergi pasar kerana adik ringan tulang dan jenis budak yang boleh disuruh.
“Kebiasaannya, saya yang akan menemaninya untuk pantau dan sambil itu ambil gambar juga videonya.
“Ikutkan, adik memang lasak malah di sekolah dia aktif bersukan tetapi kerja itu semua dilakukan pada hujung minggu saja jadi tak ganggu waktu persekolahannya,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Kongsi Video Di Tik Tok Sebagai Kenangan
Kisah Hakim mula menjadi perhatian warganet di TikTok apabila Asmyda sering berkongsikan video mengenai kerja-kerja ‘lelaki’ yang dilakukan oleh adik lelakinya itu.
Antara kerja-kerja yang dilakukan adalah seperti memesin rumput, mengemudi perahu, mengait buah kelapa sawit, menangkap ketam, memancing dan menjala ikan.
Bagi Asmyda, walaupun bagi segelintir orang luar menganggap ia hanya perkara biasa, namun sebagai kakak, dia kagum dengan sikap Hakim dan niatnya berkongsikan video tersebut hanyalah sebagai kenangan di masa hadapan.
“Disebabkan itu (kagum), saya muat naik videonya di TikTok kerana saja nak simpan untuk buat kenang-kenangan.
“Tak sangka video itu meraih tontonan tinggi dengan rata- ratanya memuji adik serta beri komen positif.
“Terima kasih atas kata semangat yang diberi dan diharap, adik dapat menjadi contoh kepada remaja seusia dengannya,” katanya lagi.
Warganet Kagum Dengan Kemahiran Yang Dimiliki
Video yang telah mendapat lebih 800 ribu tontonan itu sememangnya menarik perhatian warganet. Rata-rata memuji kanak-kanak tersebut yang dikatakan berbeza jika dibandingkan dengan segelintir kanak-kanak lain.
Malah, ada juga yang memuji ibu bapanya yang dianggap pandai mendidik anak hingga ada segelintir warganet bergurau untuk menjadikan remaja lelaki itu sebagai menantu.
Berikut merupakan antara komen warganet:
Besar Nanti Kalau Letak Mana-Mana Boleh Hidup Dik
Budak Baik Ni Susah Nak Dapat Zaman Sekarang Ni
Kak, Nak Book Buat Menantu, Nanti Saya Buat Anak Perempuan Sorang
Ada Budak Dia Kurang Dalam Akademik, Tapi A+ Dalam Bab Macam Ni
Nak Lock Jadi Menantu, Sebab Tahu Anak Saya Mesti Tak Lapar Bila Dapat Laki Serba Boleh
Bagusnya. Didik Dari Kecik Merasa Hidup Susah, Bila Besar Dia Pandai Berdikari
Adik Ni Jenis Ringan Tulang, Percayalah Suatu Masa Nanti Sekeliling Dia Ramai Orang Sayang
Baca Artikel Berkaitan: