“Banyak Yang Telefon Saya Nak Bantu” – Kos Bateri Jantung RM38,000, Ebby Yus Perjelas Ingin Ikhtiar Sendiri [Video]
Menurut Ebby Yus, dia telah menerima bantuan daripada pihak hospital namun tidak secara menyeluruh menyebabkan dia perlu menanggung sebahagian kos terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial berita pelakon dan pelawak veteran, Ebby Yus yang berkemungkinan perlu menjalani prosedur pemasangan bateri pada jantungnya yang menelan kos sebanyak RM38,000.
Menurut Ebby, berdasarkan pemeriksaan kesihatan terakhirnya beberapa bulan lalu, kekuatan jantungnya hanya tinggal 26% sahaja.
Ramai salah faham, ingat Ebby Yus memerlukan bantuan
Pun begitu, ramai pihak telah salah faham dengan tajuk yang dikeluarkan oleh salah satu portal sehingga menyangka bahawa pelawak veteran itu memerlukan bantuan kewangan.
Susulan itu, Ebby menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya (@ebbyyus) telah tampil memperbetulkan salah faham tersebut.
“Sebenarnya ini satu kesilapan, dia (portal) tak sengaja ni. Kalau kita dengar bunyinya, ‘kena cari’ itu macam saya mungkin perlu minta orang bantu,” katanya.
Jelas Ebby, dia telah menerima bantuan daripada pihak hospital namun tidak secara menyeluruh menyebabkan dia perlu menanggung sebahagian kos terbabit.
Ebby akan ikhtiar sendiri untuk tampung sebahagian kos terbabit
Bagaimanapun, Ebby berkata akan ikhtiar sendiri untuk mencari sebahagian wang yang diperlukan untuk menampung kos pemasangan bateri pada jantungnya itu.
“Untuk pengetahuan anda di luar sana, insya-Allah saya akan dapatkan yang ‘sedikit’ (wang) itu. Itulah sahaja yang saya nak buat pembetulan sebab banyak yang hubungi saya tanya nak bantu dan beri sumbangan apa semua,” katanya.
Ebby Yus berterima kasih kepada orang ramai yang ingin membantunya
Dia pada masa sama turut berterima kasih kepada orang ramai yang telah menghubunginya untuk menghulurkan bantuan meskipun dia pada ketika ini tidak memerlukannya.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih, cuma buat setakat hari ini, insya-Allah.. terima kasih banyak-banyak,” ujar Ebby.
Terdahulu, Ebby yang kini berusia 58 tahun berkata doktor menyarankan dia untuk menjalani prosedur pemasangan bateri.
Kata Ebby, keputusan sama ada perlu menjalani prosedur terbabit akan diketahui pada bulan hadapan, lapor Berita Harian.