[Video] Anggap Sistem Sekolah Buang Masa, As’ad Motawh Dikritik Netizen
As’ad Motawh menjelaskan faktor media sosialnya yang sudah mempunyai 300,000 pengikut telah menjadi sebab untuk dia memulakan ‘home schooling’ sambil meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Apabila berbicara tentang persekolahan, kita semua sedia maklum bahawa sistem pendidikan ini bermula seawal tujuh tahun iaitu Darjah 1 sehingga Tingkatan 5 (17 tahun).
Setiap peringkat itu mempunyai tahap pembelajaran yang berbeza dan mempunyai peperiksaan tertentu untuk menguji tahap pendidikan seseorang murid.
Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis tempat pembelajaran seperti sekolah kebangsaan, sekolah swasta, sekolah berasrama penuh, sekolah teknik dan ‘home schooling’.
Penyanyi Tempatan Anggap Sistem Sekolah Di Malaysia Berada Di Takuk Lama
Terbaharu, isu ini menjadi topik hangat selepas penyanyi muda As’ad Motawh didakwa memperlekehkan sistem pendidikan di Malaysia.
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@youusaff), kelihatan As’ad bersama dua orang lelaki iaitu TikToker bernama Yousaff dan Azri Walter sedang berbual dalam satu siaran podcast.
Dalam video berkenaan, mereka dilihat berbincang mengenai topik sistem persekolahan yang dilaksanakan di Malaysia.
Ditanya tentang fahamannya mengenai sekolah, As’ad memberi pendapat bahawa segala perkara yang dilakukannya pada waktu ini tidak melibatkan apa-apa yang dipelajari ketika zaman persekolahan.
Malah, dia juga secara jujurnya meluahkan rasa kurang minat dengan sekolah.
Tambahnya lagi, segala subjek yang dipelajari seperti sains dan perkara yang ‘advance’ itu adalah tidak perlu dalam sistem pendidikan.
Bagi saya waktu saya masih muda, As’ad rasa macam segala perkara yang saya buat sekarang ini, tiada kaitan sangat dengan sekolah dan kebanyakannya masa kat sekolah itu buang masa je sebenarnya.
As’ad Motawh.
As’ad turut berpendapat bahawa sistem persekolahan di negara ini boleh diubah kerana dunia yang semakin moden.
Penyanyi ini juga mendakwa bahawa ahli perniagaan John D. Rockefeller pernah berkata sistem persekolahan diwujudkan untuk mencipta sekumpulan pekerja.
Walau bagaimanapun, As’ad menasihati orang ramai untuk tidak berhenti sekolah dan melihat kepada situasi sekiranya mahu bertukar ke arah ‘home schooling’.
Jelas As’ad, faktor media sosialnya yang sudah mempunyai 300,000 pengikut telah menjadi sebab untuk dia memulakan ‘home schooling’ sambil meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.
As’ad nak start home schooling sebab saya dah bina sesuatu iaitu dengan adanya 300,00 pengikut di Instagram. Saya tahu cara untuk ‘monetize’ benda itu dengan cara menyanyi.
As’ad Motawh.
Namun, As’ad berkata tidak semua orang mampu untuk melakukan perkara yang sama dan bergantung kepada situasi masing-masing.
Netizen Beri Pelbagai Reaksi Selepas Dengar Pendapat As’ad Motawh Tentang Sekolah
Menjengah ke ruangan komen video tersebut, pelbagai reaksi yang diberikan dari netizen selepas mereka mendengar pendapat mengenai sistem persekolahan dari penyanyi berkenaan.
Rata-rata netizen kurang bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh As’ad itu kerana segala perkara termasuklah ilmu mengenai sejarah, matematik, geografi dan sebagainya itu dipelajari di sekolah.
“Kita pandai jawi, sejarah, math, geo, pengguna bahasa semua dari sekolah,” kata netizen.
Malah ada juga netizen yang mempersoalkan bagaimana As’ad boleh mahir bertutur dalam bahasa Inggeris jika dia tidak ke sekolah.
Segelintir netizen pula berkata nasihat ini hanya boleh diguna pakai jika tergolong dalam keluarga yang kaya.
Pada masa yang sama, seorang netizen mempunyai pendapat yang sama dengan penyanyi berkenaan kerana menganggap sistem persekolahan di Malaysia perlu diubah.
Profil Tentang As’ad Motawh
As’ad Motawh atau nama sebenarnya As’ad Ahmed Mohamed Motawh merupakan anak kelahiran Selangor pada 3 September 2001 dan kini berusia 23 tahun.
Memetik Iluminasi, anak ketiga daripada empat adik-beradik ini mula aktif dalam dunia hiburan sejak tahun 2017 dan telah bernaung di bawah syarikat rakaman Beegood Music sebelum mengeluarkan single sulung berjudul Senyum.
Selain itu, As’ad juga mempunyai perniagaannya tersendiri iaitu membuat landskap, perkhidmatan cuci kereta dan syarikat produksi Motawh Production.