fbpx

“Presiden Majlis Peguam Tak Faham Undang-Undang, Pergi Belajar Semula” – Peguam Najib Razak

Menurut Muhammad Shafee Abdullah Agong mempunyai budi bicara mutlak dalam memberi pengampunan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum sedia maklum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammad Najib Abdul Razak, telah mendapat pengurangan hukuman penjara dan denda dari Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan bersetuju memendekkan tempoh hukuman daripada 12 tahun ke enam tahun, dan denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta.

Berikutan dengan itu, beberapa pihak telah mengeluarkan kenyataan berkaitan situasi tersebut. Salah seorang daripadanya adalah Presiden Majlis Peguam Karen Cheah yang kurang bersetuju dan menyoal sama ada keputusan tersebut merompak keadilan dalam negara.

Menurut Cheah, Majlis Peguam memegang pendirian bahawa pengampunan Diraja perlulah dilakukan berdasarkan nasihat yang diberikan oleh ahli lembaga pengampunan.

Shafee Tegas Kuasa Pengampunan Hak YDPA

Terkini, Peguam Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membidas pandangan Cheah dan menegaskan bahawa kuasa pengurniaan pengampunan merupakan hak Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Katanya, Agong mempunyai budi bicara mutlak dan tidak semestinya perlu mendengar nasihat daripada keempat-empat ahli tidak tetap Lembaga Pengampunan.

Dalam pada itu, Shafee ketika satu sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dilaporkan turut meminta Cheah agar belajar semula undang-undang kerana tidak memahami undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau sepatutnya kembali belajar undang-undang kerana tidak memahami undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan,” kata Shafee dipetik FMT.

Najib Berhak Kemuka Pengampunan Kepada Agong Baharu

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Najib boleh mengemukakan permohonan rayuan pengampunan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar.

Namun beliau berkata Najib masih mempunyai kes yang sedang berjalan di mahkamah dan perlu diteruskan melalui proses kehakiman.

“Najib berhak sekali lagi merayu kepada Yang di-Pertuan Agong baharu. Saya rasa proses itu perlu dihormati, ia di luar bidang kuasa Perdana Menteri atau kerajaan.”

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar berkata dia menghormati keputusan yang dilakukan oleh Tuanku Sultan Abdullah Ri’ayatuddin, namun kini negara sudah mempunyai Agong baharu.

Beliau juga menegaskan setiap individu yang disabitkan kesalahan berhak untuk melakukan permohonan kepada Lembaga Pengampunan.

Tambahnya, Raja Berperlembagaan akan berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan lain-lain terlebih dahulu.

“Ini sudah tentunya benteng, dan untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” kata Anwar.

Kuasa Pengampunan Di Dalam Perlembagaan Persekutuan

Berdasarkan kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, YDPA, Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, menunda hukuman atau lega hukuman.

YDPA mempunyai kuasa tersebut bagi segala kesalahan yang dibincangkan di mahkamah tentera atau yang dilakukan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebaliknya, pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain adalah tertakluk kepada kuasa Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

Dalam masa yang sama, Lembaga Pengampunan bertanggungjawab dalam mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan oleh banduan di bawah Peraturan 54, Peraturan 113 dan Peraturan 114 Peraturan-Peraturan Penjara 2000, serta Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli-ahli Lembaga Pengampunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada YDPA sebagai Pengerusi, Peguam Negara Persekutuan, Menteri yang bertanggungjawab bagi wilayah ini dan tidak lebih daripada tiga anggota lain yang dilantik oleh YDPA.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.