‘Sea Stack’ Ikonik Di Taman Negara Bako Runtuh, Negara Hilang Satu Khazanah Geologi
Sarawak Forestry Corporation menjelaskan bahawa runtuhan batu tunggul yang diberi nama Turus Laut Kepala Ular mungkin disebabkan oleh fenomena ombak besar yang melanda perairan Bako sejak beberapa hari lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malaysia mempunyai pelbagai khazanah alam yang mengagumkan dan menarik perhatian orang ramai. Ini menyebabkan ada yang sanggup mengembara ke tempat-tempat tertentu demi melihat sendiri khazanah alam tersebut.
Namun begitu, sesetengah khazanah alam ini turut terdedah kepada fenomena alam yang boleh merosakkan, malah menghilangkannya buat selama-lamanya.
Inilah yang terjadi kepada sebuah batu tunggul ikonik, Turus Laut Kepala Ular, yang terletak di perairan Taman Negara Bako, Sarawak baru-baru ini.
Dikenali sebagai ‘Bako Sea Stack’, ia dilaporkan tidak lagi kelihatan sejak semalam (13 Februari 2024). Satu video dikongsi oleh seseorang menerusi laman X menyatakan ikon Bako itu telah hilang, tetapi tidak diketahui bila ia runtuh.
Batu Tunggul Bako Jatuh Ke Dalam Laut
Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam hari yang sama.
Menurutnya, dia mendapat berita mengenai insiden tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran.
“Saya berasa amat sedih mendapat berita batu tunggul atau sea stack di Taman Negara Bako telah sampai ke hujung hayatnya dan jatuh ke laut,” katanya kepada media TVS.
Dia memaklumkan bahawa batu tunggul itu merupakan tarikan di Taman Negara Bako sekaligus menjadi lokasi wajib pelancong menangkap gambar.
Mungkin Runtuh Akibat Ombak Besar
Dalam pada itu, Sarawak Forestry Corporation menerusi satu kenyataan di Facebook pada 14 Februari berkata kehilangan batu tersebut dilaporkan oleh seorang pemandu taman pada jam 4 petang semalam (13 Februari 2024).
Kenyataan sama menjelaskan bahawa turus laut itu mungkin runtuh disebabkan oleh fenomena ombak besar yang melanda perairan Bako sejak beberapa hari lalu.
“Turus laut ini merupakan salah satu khazanah geologi negara yang terbentuk dari kesan hakisan batuan pasir selama berjuta-juta tahun. Formasinya yang unik dan indah telah memukau dan mempersonakan pandangan pengunjung yang datang melihatnya.”
Sarawak Foresty Corporation
Bako Sea Stack bukan sahaja menjadi tarikan dari segi keindahan semula jadi, malah telah banyak memberi sumbangan kepada industri pelancongan tempatan, terutamanya buat pengusaha bot di Taman Negara Bako.
Sebelum ini, satu objek batu dikenali sebagai ‘Drinking Horse’ yang terletak di Pantai Tusan, Miri telah runtuh pada Februari 2021. Runtuhan mungkin disebabkan oleh hujan lebat yang melanda kawasan tersebut ketika itu, lapor The Borneo Post.
Sarawak Akan Teroka Formasi Batu Unik Lain
Sehubungan dengan berita runtuhan batu tunggul itu, Abdul Karim berkata kerajaan Sarawak akan meneroka khazanah lain di Taman Negara Bako supaya ia dapat dikekalkan sebagai lokasi pelancongan.
Dia merasa amat sedih dengan kejadian runtuhan batu tersebut, tetapi percaya masih terdapat bentuk batuan unik lain yang belum ditemui di taman negara itu.
“Kita tidak dapat melawan kehendak Tuhan kerana sebelum ini pun di Tudan batu seakan-akan kepala kuda juga telah runtuh sama seperti yang berlaku di Bako.”
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Dalam masa yang sama, dia berkata pihaknya akan meneliti cara untuk menjaga formasi batu lain dan melambatkan proses runtuhan. Namun begitu katanya lagi, runtuhan tersebut adalah fenomena alam yang tidak dapat dielakkan.
Bako Taman Negara Pertama Di Sarawak
Sebagai info, Bako diiktiraf sebagai Taman Negara pertama di Sarawak pada tahun 1957 disebabkan oleh formasi batu Turus Laut Kepala Ular tersebut.
Dengan keluasan 27 kilometer, pulau Bako menempatkan lebih 600 spesies bunga dan 267 hidupan liar termasuk monyet Belanda yang menjadi salah satu tarikan utamanya.
Bako Sea Stack merupakan timbunan batu laut yang unik dan menjadi salah satu khazanah geologi negara. Ia terbentuk kesan daripada pergerakan gelombang ombak laut beratus-ratus tahun lamanya.