Ibu Terkejut Terima Panggilan, Rupanya Anak Bongsu Tertinggal Di R&R Pagoh [Video]
Sebaik menerima panggilan daripada anak bongsu, si ibu segera memeriksa tempat duduk belakang dan menyedari anaknya tiada kerana tertinggal di R&R Pagoh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan kes kanak-kanak tertinggal di kawasan rehat dan rawat (R&R) sering kali berlaku.
Malah kejadian ini kebiasaanya berlaku kerana ibu bapa tidak sedar bahawa anak-anak mereka tidak berada dalam kereta sebelum kenderaan berjalan.
Tidak kurang juga ada yang berlaku salah faham apabila menyangka anak mereka menaiki kenderaan sanak-saudara, namun apabila diperiksa si kecil tiada dan membuatkan ibu bapa mula bimbang dengan keselamatan anak.
Baca artikel berkaitan: Kanak-Kanak Tertinggal Di Stesen Minyak, Respon Ibu Undang Perhatian [Video]
Baca artikel berkaitan: Telatah Keluarga Tertinggal Adik Di R&R Ketika Dalam Perjalanan Untuk Hantar Masuk Universiti Undang Tawa [Video]
Ibu terkejut terima panggilan dari anak bongsu maklum tertinggal di R&R Pagoh
Terbaharu, perkara sama turut berlaku kepada pasangan ibu bapa ini apabila tertinggal anak bongsu yang berusia 14 tahun di sebuah R&R di Pagoh, Johor pada 17 Februari lalu.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Shahila Sha di TikTok, awalnya kelihatan sepasang suami isteri bersama seorang lagi anak di tempat duduk belakang sedang dalam perjalanan dipercayai di lebuh raya sebelah selatan tanah air.
Tidak lama selepas itu si ibu telah menerima panggilan daripada seseorang, dia kemudian bertanya siapakah individu tersebut sebelum mengetahui panggilan itu adalah daripada anak bongsunya.
Ibu segera periksa bahagian belakang kereta adakah betul anak tertinggal
Si anak yang berada di talian lalu memaklumkan kepada ibunya bahawa dia telah tertinggal di R&R berkenaan. Wanita itu kemudian dengan segera berpaling ke arah belakang untuk memeriksa adakah betul itu adalah anaknya.
Dia kemudian menyedari si anak tidak ada di dalam kereta dan memberitahu suami ‘adik tinggal’.
Anak dibantu oleh tiga pekerja stesen minyak warga Bangladesh
Dalam satu lagi video lain, si ibu turut menunjukkan mereka telah berpatah balik ke R&R berkenaan melalui susur keluar Yong Peng untuk mengambil anak bongsunya itu.
Sebaik sampai di kawasan rehat itu, kelihatan anak bongsunya telah menunggu ibu bapanya di sebuah stesen minyak Petron sambil ditemani oleh tiga pekerja warga Bangladesh.
“Syukur alhamdulillah si bongsu dibantu oleh tiga orang pekerja warga Bangladesh, yang nama Ismail tu bagi guna telefon untuk hubungi saya serta belikan si bongsu roti dan air.
“Terima kasih Ismail dan dua lagi rakan dari Petron R&R Pagoh. Budi kalian kami akan kenang sampai bila-bila.. Ada je warga asing yang berhati mulia,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dia dalam pada itu, turut menasihatkan orang ramai khususnya yang bergelar ibu bapa untuk memeriksa keberadaan anak apabila berhenti di R&R atau di mana-mana sahaja agar perkara sama tidak berulang.
Melihat di ruang kapsyen ramai yang berkongsi mereka juga pernah berdepan dengan situasi sama. Malah kes tertinggal itu bukan hanya melibatkan kanak-kanak tetapi ia termasuk orang dewasa.
Tidak kurang juga ada yang berkongsi tips bagi mengelakkan perkara itu berlaku iaitu dengan memanggil setiap nama anak untuk memastikan semua telah masuk ke dalam kereta sebelum bergerak meninggalkan sesebuah tempat.