Peniaga Kantoikan Pelanggan Didakwa Banyak Kali Makan Tak Bayar
Menurut pemilik restoran iaitu Abe Zaini, dia mendakwa wanita terbabit sudah banyak kali melakukan taktik tersebut untuk mencuri makanan yang ada di kedainya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui perbuatan mencuri merupakan satu dosa dan ia juga salah di sisi undang-undang.
Malah lebih teruk sekiranya barangan yang dicuri adalah dalam bentuk makanan memandangkan ia akan menjadi darah daging kecuali perbuatan itu dilakukan dalam keadaan darurat.
Tular pemilik restoran kantoikan pelanggan tak bayar makanan
Baru-baru ini, tular satu video dikongsikan oleh seoarang pengguna, Abe Zaini di TikTok yang memaparkan seorang wanita tertangkap dipercayai kerana mengambil makanan bernilai hampir RM70 tanpa membuat pembayaran.
Taktiknya diketahui selepas pemilik restoran di Permatang Pauh, Pulau Pinang itu mengecam identitinya yang sudah beberapa kali melakukan perkara sama.
Menurut mStar, Abe Zaini menjelaskan ia bukanlah kali pertama wanita itu melakukan perbuatan tersebut malah turut menggunakan taktik sama untuk mencuri makanan di kedainya.
“Kami dah kesan kelakuan dia buat banyak kali, melebihi tiga kali.. selebihnya wallahualam. Pertama kali dia datang, diambil makanan dan keluar. Kali kedua masih macam tu.
“Kali ketiga kami kesan dan kami plan buat video sebagai bukti dan akhirnya kantoi, ambil makanan tak bayar. Daripada mula dia ambil nasi kerabu, staf saya bungkus enam bungkus, dia ambil makanan vendor dan dia pesan air Nescafe ais.
“Selepas ambil semua dia datang cashier untuk tahu harga, sebaliknya dia terus keluar kedai. Jadi kami rasa dia niat tak mahu bayar, kami sekat dan tangkap dia,” dakwa Abe Zaini.
Larikan diri selepas pemilik benarkan ambil duit dalam kereta
Walau bagaimanapun sewaktu bersemuka dengan pelanggan itu, wanita berkenaan cuba untuk mengelak dengan memberi alasan nak ambil duit yang tertinggal dalam kenderaannya.
Namun selepas mengasak dengan pelbagai soalan, dia akhirnya mengizinkan wanita itu pergi mengambil wang sebelum pelanggan terbabit sekali lagi bertindak melarikan diri.
“Kalau betul dia nak bayar, mesti dia datang cashier, tanya harga. Kalau tak cukup duit baru pergi ambil duit di kereta. Tapi dia memang sengaja tak mahu bayar, dia nak pergi ke kereta kami sekat.
“Apabila kami sekat, dia jawab jawapan yang tak munasabah. Dia kata tak pernah datang, tak biasa datang. Kami tarik ke belakang tanya staf yang bubuh nasi, staf kata dah banyak kali dia datang.
“Saya cakap akak kena bayar makanan ni. Dia kata duit dalam kereta. Saya pun biarkan dia pergi ambil duit dalam kereta, dan dia tak kembali,” dakwanya lagi.
Tujuan muat naik video untuk dijadikan pengajaran dan peringatan kepada peniaga lain
Jelas pemilik restoran makanan Kelantan itu, dia menerima pelbagai komen daripada orang ramai yang menyifatkan dia hanya membuat konten untuk kedai makanannya.
Tidak kurang juga ada yang menyifatkan dia membuka aib wanita berkenaan.
“Ada orang suruh maafkan. Kami boleh maafkan, tapi kenapa undang-undang dan agama kita ada hukuman untuk pencuri? Bagi saya, saya viral benda ni untuk (peringatan) peniaga sekitar.
“Benda ni berlarutan, berleluasa orang masuk kedai tak bayar. Yang melibatkan (kes) ambil selalu (banyak kali) dengan kuantiti banyak.”
Katanya lagi jika dia mempamerkan wajah wanita berkenaan itu barulah dinamakan aib, sebaliknya dia telah menyunting video dan mengaburkan muka pelanggan tersebut sebelum memuat naik di media sosial.
Ujarnya lagi, jika tidak memiliki duit untuk makan hanya beritahu, kerana ada saja individu yang tiada duit tetapi datang makan di situ.