Wajib Jual Harta Yang Bukan Keperluan Untuk Tunai Haji, Tak Jual Berdosa – UAI [Video]
Menurut UAI, ukuran untuk seseorang itu berkemampuan menunaikan Haji bukanlah dengan wang tunai sahaja, sebaliknya harta yang dimiliki juga.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebagai umat Islam, kita pasti mempunyai keinginan untuk menunaikan rukan Islam kelima iaitu ibadah Haji. Namun kekangan wang merupakan antara penghalang untuk kita memenuhi hajat tersebut.
Bagi golongan-golongan yang berkemampuan, menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci merupakan perkara wajib untuk dilakukan.
Bagaimanapun, apakah hukumnya jika seseorang yang berkemampuan itu tidak menunaikan Haji dan lebih mengutamakan perkara lain?
Bukan hanya wang, harta dimiliki juga akan diukur
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI menjelaskan bahawa ukuran untuk seseorang itu berkemampuan menunaikan Haji bukanlah dengan wang tunai sahaja, sebaliknya harta yang dimiliki juga.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @yongjihyo, UAI berkata individu yang berkemampuan untuk membelanjakan wang atau hartanya wajib menunaikan haji.
“Siapa yang ada duit lebih daripada belanja haji, sekarang ini belanja Haji (lebih kurang) RM30,000, siapa yang ada RM30 ribu lain daripada duit untuk makan dan minum, wajib pergi Haji. Walaupun (nilai duit) itu dalam bentuk harta,” katanya.
Wajib jual harta yang bukan keperluan untuk tunai Haji, berdosa kalau tak jual
Menurutnya, jika harta yang dimiliki itu digunakan untuk bersuka ria semata-mata, maka ia wajib dijual untuk mengutamakan perbelanjaan ibadah Haji dahulu.
Sekiranya harta yang dimiliki tanpa sebarang keperluan dan hanya hobi itu tidak dijual untuk mengutamakan ibadah Haji, maka hukumnya adalah berdosa, kata UAI.
Harta keperluan seperti untuk mencari pendapatan tidak wajib dijual
Namun, UAI berkata jika harta yang dimiliki itu digunakan untuk mencari rezeki dan sebagainya, maka ia tidak wajib dijual.
“Contoh kalau ada set ‘home theater’ berharga RM40 ribu, kalau jual home theater tu boleh pergi Haji, maka dia wajib jual, kalau tak jual berdosa.
“Siapa yang ada dua rumah tapi rumah kedua bagi sewa, maka tak wajib jual sebab rumah sewa untuk pendapatan,” jelasnya.
Kami percaya penjelasan UAI ini bagi golongan yang berkemampuan tetapi tidak pernah menunaikannya, ini kerana ibadah Haji hanya wajib dilakukan sekali sahaja seumur hidup.
Namun untuk menunaikan Haji berkali-kali tidak menjadi suatu kesalahan kerana ianya adalah sunnah.