
Logo Kasut Mirip Kalimah Allah: Vern’s Mohon Maaf, Tampil Beri Penjelasan [Video]
Isu kasut ini turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang telah mengarahkan JAKIM untuk memanggil pihak berkaitan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (7 April) kecoh media sosial selepas seorang lelaki mendakwa kasut yang dibelinya terdapat logo yang mirip kalimah Allah.
Mohd Haridz menerusi satu hantaran video di Facebook berkata, dia begitu terkejut apabila mendapati kasut jenama Vern’s yang dibeli untuk isterinya pada 30 Mac itu mempunyai logo seakan perkataan Allah pada tapaknya.
“Ini berita yang membuat kita marah, pada 30 Mac lalu saya ada beli kasut untuk (Hari Raya) Aidilfitri, Vern’s di Kuantan Parade.
“Isteri saya minat dengan sepasang kasut, kasut ini lepas beli tidak pernah buka dan letak dalam bilik, hari ini saya terdetik hati nak buka tapi bila semak, nampak ada kalimah Allah pada tapak kasut,” kata Mohd Haridz.
Hantaran cetus perdebatan di media sosial
Hantaran berkenaan kemudiannya tular dan sohor di semua platform media sosial sehingga mencetuskan perdebatan hangat.
Ada yang menyifatkan ia hanyalah kebetulan dan ada juga yang mendakwa ia adalah satu lagi cubaan untuk menghina Islam.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh juga tidak terkecuali apabila turut tampil mengulas isu tersebut dan meminta syarikat pengeluar kasut berkenaan untuk memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam.
Tambah Akmal, dia pada mulanya marah sebaik mendapat tahu tentang perkara itu, namun selepas membuat semakan di media sosial ada maklumat yang mengatakan logo berkenaan adalah seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali.
“Kami orang Islam di Malaysia ini bukan jenis yang bertindak semberono tanpa usul periksa, kami berhusnuzon dahulu dan kami mahukan penjelasan dari pihak kamu.”
Menteri Agama arah JAKIM siasat
Isu ini kemudiannya mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak berkaitan.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak ‘sekiranya telah jelas membuat tindakan yang menghina agama Islam’.
Sehubungan itu beliau meminta semua pihak untuk bertenang dan memberikan ruang kepada JAKIM dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan terbabit.
Vern’s perjelas tiada niat untuk hina mana-mana agama
Terbaharu, Vern’s Holding Sdn Bhd selaku pengeluar kasut berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia berhubung isu yang tular itu.
Vern’s dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook berkata, pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang memperlekeh atau menghina mana-mana agama dan kepercayaan.
“Kami pihak pengurusan Vern’s telah dimaklumkan mengenai satu isu yang telah menyinggung ramai pihak terutama yang beragama Islam.
“Pertama sekali, ingin dijelaskan bahawa pihak kami sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan dan kami berharap agar diberikan ruang untuk menjelaskan reka bentuk logo tersebut.
“Untuk pengetahuan semua, logo ini 100% diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan,” kata Vern’s.
Namun pihaknya mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut hingga mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

Sudah henti jualan kasut, sedia pulangkan wang pembeli
Vern’s dalam kenyataan sama turut memaklumkan pihaknya sudah menghentikan penjualan kasut tersebut.
Bukan itu sahaja, mereka juga bersedia memulangkan wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.
“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku. Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.”