“Seumpama Penzina” – Ustaz Jafri Tegur Wanita Pakai Minyak Wangi Untuk Tarik Perhatian Lelaki [Video]
Menerusi tangkap layar dikongsi pendakwah bebas itu, kelihatan seorang perempuan berjalan bersebelahan sekumpulan lelaki bagi melihat reaksi mereka sama ada menyedari bau wangian yang dipakainya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum sedia maklum, setiap perniagaan yang dijalankan memerlukan pemasaran yang efektif bagi memastikan jenama dikenali orang ramai.
Seperti trend pemasaran kini, segelintir usahawan gemar melakukan ‘social experiment’ dan mendapatkan reaksi masyarakat mengenai produk yang dijual.
Walau bagaimanapun, ada juga di antara mereka yang dikatakan telah melanggar syariat Islam apabila melakukan pemasaran sebegitu.
Wanita Pakai Minyak Wangi Untuk Lihat Reaksi Para Lelaki
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@jafrimahmoodi_off) apabila pendakwah bebas dikenali sebagai Ustaz Jafri Mahmoodi menyuarakan pandangannya tentang konten pemasaran yang dilakukan oleh pihak tertentu bagi mempromosikan produk minyak wangi.
Menerusi screenshot yang dikongsi, kelihatan seorang perempuan Muslim berjalan bersebelahan sekumpulan lelaki di sebuah medan makan.
Difahamkan, wanita itu sedang memakai sejenis minyak wangi dan ingin melihat sama ada sekumpulan individu tersebut menyedari bau wangian berkenaan.
“Nak tengok reaksi mereka (sekumpulan lelaki) bila terhidu bau perfume pemikat ni,” kapsyen tertera pada screenshot.
Perbuatan Itu Dikira Sebagai Zina Mata
Menurut sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
“أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ”
Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian, kemudian berjalan melalui sekumpulan kaum lelaki dengan tujuan agar mereka mencium bau harum yang dipakainya, maka perempuan tersebut adalah seorang penzina.”
Jelas Ustaz Jafri memetik ulama Imam al-Munawi, para wanita yang memakai minyak wangi dengan bau kuat kemudian berjalan melalui kaum Adam, ia dikira sebagai perbuatan zina jika itu adalah tujuan asalnya.
Tambah Imam al-Munawi, sekiranya seseorang wanita hadir ke sesuatu majlis dan para lelaki menyedari bau wangian sekaligus menaikkan syahwat (nafsu) sehingga mendorong mereka memandang ke arah wanita tersebut, maka setiap pandangan berkenaan dikira sebagai zina mata.
Berbicara lebih mendalam mengenai isu tersebut, Ustaz Jafri berkata wanita itu mendapat dosa kerana ‘memancing’ pandangan ke arahnya dan membuatkan golongan lelaki tidak tenang.
Nabi Muhammad SAW juga bersabda:
“أَيُّمَا امْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ، ثُمَّ خَرَجَتْ إِلَى الْمَسْجِدِ، لَمْ تُقْبَلْ لَهَا صَلَاةٌ حَتَّى تَغْتَسِلَ”
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang mengenakan wangian kemudian keluar menuju ke masjid, tidak diterima solatnya sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangi tersebut).”
Adakah Wanita Langsung Tidak Boleh Pakai Minyak Wangi?
Pun begitu, ini tidak bermaksud para wanita tidak boleh memakai minyak wangi secara langsung. Anda dibenarkan untuk memakainya dan ia juga boleh mendorong kepada ganjaran pahala sekiranya wanita memakai minyak wangi untuk si suami.
Jika para wanita ingin keluar daripada rumah, hukum memakai wangian adalah harus sekadar untuk menutup bau badannya.
Nabi SAW turut bersabda:
“إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ”
Maksudnya: “Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.”
Dalam konteks ini, setiap usahawan dinasihatkan untuk berhati-hati dalam mempromosikan sesuatu produk, jangan pula sampai ia melanggar syariat Islam.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Dedah Kenapa Tak Boleh Pakai Minyak Wangi Ketika ‘Hiking’
Baca Artikel Berkaitan: Apakah Hukum Pakai Minyak Wangi Ada Alkohol Masa Solat? Ini Penjelasan UAI [Video]