Ramai Kagum Lihat Wanita Jaga Ibu ‘Bedridden’, Siap DIY Katil [Video]
Menurut Aisyah ayahnya sakit sejak tahun 2021 kerana sakit saraf manakala si ibu pula sakit tahun 2022 disebabkan strok mini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap yang bergelar anak, pastinya ingin berbakti kepada kedua ibu bapa sebagai balasan kerana mereka telah membesarkan dengan penuh kasih sayang.
Apatah lagi apabila ibu bapa yang disayangi itu diuji dengan kesihatan yang kurang baik, pastinya ia membuatkan si anak ingin menjaga mereka dengan baik termasuklah menyediakan setiap keperluan mereka.
Wanita jaga ibu dan bapa terlantar kerana sakit
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Aisyah Ishak yang menjaga kedua ibu bapa yang sudah terlantar atau (bedridden).
Umum mengetahui menjaga pesakit yang terlantar bukanlah mudah dan ia memerlukan tenaga yang kuat untuk mengangkat mereka khususnya jika ingin membersihkan badan dan sebagainya.
Aisyah menerusi TikTok miliknya turut berkongsi bagaimana dia menguruskan kedua ibu dan bapa yang terlantar dengan menggunakan ‘hoist crane’.
Dalam video dapat dilihat Aisyah menggunakan alat kawalan berkenaan untuk mengangkat dan mengalihkan ibunya dari atas tilam ke kerusi roda ketika ingin membawa si ibu membuat pemeriksaan dengan doktor.
Ibu hidap sakit strok mini, ayah pula saraf
Namun apabila ingin memasukkan ibu ke dalam kereta, Aisyah memerlukan bantuan abang yang juga menjaga kedua orang tuanya untuk masuk ke dalam kenderaan.
Menurut Aisyah ketika ditemubual BuzzKini, pada awalnya bapa yang berumur 69 tahun mula sakit pada 2021 sebelum diikuti oleh ibu ketika tahun 2022.
Jelasnya ibu berusia 62 tahun menghidap strok mini manakala ayahnya pula sakit saraf yang membuatkan kedua mereka terlantar.
Apa yang lebih menjadi perhatian, dalam video lain Aisyah turut menunjukkan dia juga ada membina katil DIY bersaiz queen dengan meletakkan roda untuk memudahkan dia menguruskan ibunya.
Masih belajar, beli alat kawalan angkat ibu dan ayah di atas talian
Selain itu dia juga mengatakan alat kawalan hoist crane itu turut dibeli di atas talian.
“Hoist crane tu saya beli di Shopee, lepas tu minta tukang rumah pasangkan,” ujarnya yang juga seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Melihat di ruangan komen, ramai yang rasa tersentuh melihat kegigihan Aisyah dan abangnya menjaga kedua ibu bapa mereka.
Malah ada juga yang berkongsi pengalaman mereka yang pernah berdepan dengan situasi sama.
Tidak kurang juga ada yang memuji mereka orang yang hebat kerana tidak semua orang mampu menjaga ibu bapa.