Angkat Takbir Sebut ‘Alalikabung’ Bukan ‘Allahu Akbar’ Apa Hukumnya? Ini Penjelasan UAI [Video]
Menurut Ustaz Azhar Idrus, umat Islam yang mampu menyebut di dalam bahasa Arab (Allahu Akbar) diwajibkan untuk berbuat demikian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Islam merupakan antara agama yang memiliki penganut teramai di dunia ini selain Kristian, Hindu dan Buddha kerana penyebaran dan perkembangannya yang pesat.
Memetik laporan The Merdeka Times, Islam juga merupakan sebahagian daripada agama rasmi di 26 negara di Asia, Timur Tengah, Afrika dan Afrika sub-Sahara.
Tidak hanya itu, cabang setiap ajaran Islam yang diikuti di seluruh dunia oleh Muslim adalah berbeza-beza mengikut empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki.
Tular di TikTok video imam di Afrika Selatan guna selain bahasa Arab ketika solat
Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang imam tidak menyebut dan membaca surah di dalam bahasa Arab.
Imam yang dipercayai dari Afrika Barat itu didengari mengangkat takbir dengan menyebut ‘Alalikabung’ dan bukannya ‘Allahu Akbar’.
Hukum solat guna bahasa lain selain bahasa Arab
Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra disapa UAI berkata, umat Islam yang mampu menyebut di dalam bahasa Arab (Allahu Akbar) diwajibkan untuk berbuat demikian.
Namun, menurutnya, umat Islam yang masih tidak mampu menyebut perkataan di dalam bahasa Arab dibolehkan untuk menterjemahkannya di dalam bahasa yang difahaminya.
“Siapa yang tak boleh lagi sebut bahasa Arab, kata Imam Nawawi dalam kitab Majmu’ boleh terjemahkan bahasa yang dia faham menunjukkan Allah Maha besar.
“Jadi kalau ‘Alalikabung’ itu maknanya dia baru masuk Islam, dia memang begitu, hukumnya (solat) sah,” katanya.
Umat Islam wajib belajar hingga mampu sebut di dalam bahasa Arab
Menurutnya lagi, para ulama bagaimanapun tetap membuat ‘penjagaan’ bahawa individu-individu sedemikian masih diwajibkan untuk mempelajarinya sehingga mampu menyebut di dalam bahasa Arab.
Dalam pada itu, beliau turut menceritakan tentang agama Rasta atau Rastafari di Afrika yang dibawa semula oleh penyanyi reggae terkenal, Bob Marley.
Jelasnya, umat Islam perlu berhati-hati kerana ajaran Rasta itu seakan agama Islam namun terdapat sedikit berbezaan daripada bacaan surah ketika solat.
“Kalau orang baru masuk Islam atau Afrika ini mulut keras, pelat tiada masalah, (cuma) takut masuk ajaran Rasta, mengarut ajaran itu,” katanya lagi.
UAI menjelaskan tentang perkara terbabit selepas diajukan soalan mengenai hukum mengangkat takbir dengan menyebut ‘Alalikabung’ semasa dalam sebuah majlis kuliah Maghrib dan sesi soal jawab agama.