Islam Larang Perbuatan Paksa Orang Melutut Mintak Maaf – Mufti Wilayah Persekutuan
Perbuatan melutut juga bercanggah dengan tuntutan syarak supaya memberi kemaafan dengan berlapang dada.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Perbuatan saling bermaafan antara satu sama lain merupakan amalan yang amat dituntut di dalam Islam, bahkan ketika Hari Raya Aidilfitri juga ianya sudah menjadi satu amalan turun-temurun.
Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman sesawang rasminya berkata, perbuatan memaksa orang lain melutut untuk membuat permohonan maaf adalah dilarang dalam Islam.
Perbuatan melutut adalah hak mutlak Allah SWT ke atas hambaNya
Menurutnya, ini kerana ia merupakan hak mutlak Allah SWT ke atas hambaNya apabila semua manusia dibangkitkan pada hari akhirat nanti.
“Dalam syariat Islam, perbuatan melutut yang membawa maksud pengabdian dan penyembahan kepada Allah SWT terhasil menerusi pergerakan dalam solat seperti rukuk, sujud, iftirasy (duduk antara dua sujud) dan ketika berdoa.
“Dengan perkataan yang lain, perbuatan ini hanya dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT sahaja,” katanya.
Dilarang kerana bertentangan dengan konsep bermaaf-maafan
Menurutnya lagi, perbuatan memaksa orang untuk meminta maaf dalam keadaan melutut dan menundukkan badan atau kepala juga adalah dilarang kerana ia bertentangan dengan konsep bermaaf-maafan sesama manusia.
Jelasnya, perbuatan sedemikian juga mencerminkan satu penghinaan terhadap individu yang memohon maaf selain boleh menjatuhkan maruahnya.
Bercanggah dengan tuntutan syarak
Selain itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut berkata perbuatan tersebut bercanggah dengan tuntutan syarak supaya memberi kemaafan dengan berlapang dada sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam firmanNya.
وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Surah al-Nur, ayat 22
Merendahkan sedikit tubuh sebagai tanda hormat dibenarkan dalam Islam
Bagaimanapun, perbuatan merendahkan sedikit tubuh mengikut sesetengah adat masyarakat setempat sebagai tanda memuliakan golongan yang dihormati dalam kalangan masyarakat seperti ulama, orang soleh, ibu bapa, guru dan seumpamanya adalah dibenarkan dalam Islam.
Pun begitu, ujar pejabat mufti itu lagi ia mestilah dilakukan dalam keadaan yang terhormat sehingga tidak menyerupai perbuatan seolah-olah ingin menyembah atau mengagungkan sesuatu melebihi Allah SWT.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan tentang perkara itu selepas diajukan soalan mengenai hukum memaksa orang lain melutut untuk membuat permohonan maaf.