fbpx
Now Reading
Islam Tidak Merestui Perbuatan Atau Penganjuran ‘Speed Dating’ – Mufti Pulau Pinang

Islam Tidak Merestui Perbuatan Atau Penganjuran ‘Speed Dating’ – Mufti Pulau Pinang

Difahamkan, program cari jodoh itu terbuka buat mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun dan peserta perlu membuat bayaran sebanyak RM120.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sekitar minggu lalu, tular di media sosial satu video yang memaparkan konsep terkini pencarian pasangan dengan kaedah ‘speed dating’ di kafe.

Ia merupakan cara terbaharu buat individu baik lelaki atau wanita yang mahu mengenali bakal pasangan dengan cara berbual santai di kedai makan.

Selain memberi peluang individu untuk berkenalan dengan seseorang dalam suasana yang tenang, individu itu juga tidak perlu merasa kekok kerana pengunjung di kafe terlibat turut mempunyai objektif yang sama.

Baca Artikel Berkaitan:Ramai Suka Konsep Cari Jodoh Sambil Makan & Borak Santai Di Kafe [Video]

Islam Tidak Merestui Speed Dating

Mengulas lanjut mengenai trend terkini pencarian cari jodoh itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor menjelaskan agama Islam tidak merestui perbuatan atau penganjuran ‘speed dating’ antara lelaki dan perempuan.

Jelas beliau, anak gadis khususnya yang beragama Islam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan pemuda kasanova.

“Peliharalah kehormatan diri dan nama baik keluarga anda. Jangan mudah percaya atau terpengaruh dengan pujuk rayu ‘kumbang’ yang hanya ingin ‘menghisap madu’ kemudian akan terbang entah ke mana, meninggalkan bunga terkulai layu.

“Pemuda juga dinasihati supaya tidak menjadikan anak gadis yang naif sebagai mangsa nafsu serakah, namun jika berkenan di hati silalah masuk meminang dan berjumpa ibu bapa si gadis dengan cara bersopan sesuai dengan hukum agama dan adat resam bangsa,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Program Lebih Banyak Memberi Keburukan Berbanding Kebaikan

Jelas Wan Salim lagi, program sedemikian dilihat lebih banyak memberikan keburukan dan mudarat berbanding kebaikan serta manfaat.

Beliau turut meminta orang ramai membayangkan kesan sekiranya seorang lelaki mahu mengadakan hubungan intim dengan seorang gadis dan dia kemudiannya meninggalkan gadis berkenaan atas alasan tidak sesuai dijadikan pasangan hidup.

“Pemuda yang sering melakukan janji temu sebegini akan mendapati bahawa tujuan sebenarnya bukan mahu mendirikan rumah tangga secara sah dengan gadis yang digoda, tetapi hanya mahu berhibur dan berseronok semata-mata.

“Lebih parah ada yang ingin mempengaruhi si gadis kenalannya ke arah perlakuan maksiat dan jika gadis berkenaan hamil, pemuda itu menafikan kehamilan adalah disebabkan oleh perbuatannya.

“Mungkin ada pula yang ‘menangguk di air keruh’ dengan mengugut akan mendedah rahsia keterlanjuran yang berlaku kepada orang ramai dengan tujuan menjatuhkan maruah gadis yang menjadi mangsanya.

“Hanya orang yang berakal waras tidak mungkin merestui hubungan sedemikian yang menggugat bangunan masyarakat dengan keruntuhan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan penganjuran acara cari jodoh berkumpulan berkonsepkan speed dating di sebuah kafe di ibu negara.

Difahamkan, program itu terbuka buat mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun dan peserta perlu membuat bayaran sebanyak RM120.

Setiap peserta diberi peluang untuk berkenalan antara satu sama lain dalam tempoh masa tertentu sebelum mereka beralih kepada individu yang lain sehingga berjumpa dengan orang yang dirasakan sesuai untuk dijadikan pasangan.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Suka Konsep Cari Jodoh Sambil Makan & Borak Santai Di Kafe [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Proses Pencarian Didakwa Lebih Mudah, Anak Muda Kini Jadikan TikTok Sebagai Platform Cari Jodoh

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.