
Pelajar Beri Guru ‘Bouquet’ Sayur-Sayuran Tarik Perhatian Ramai [Video]
Menerusi video tersebut, kelihatan pelajar berkenaan seronok apabila guru menerima jambangan sayur-sayuran dengan gembira.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali tibanya 16 Mei, pasti para pelajar di sekolah akan meraikan Hari Guru untuk menghargai jasa pendidik yang telah bertungkus lumus mendidik anak bangsa.
Bukan hanya itu, sambutan Hari Guru yang diadakan di sekolah turut menarik perhatian pelajar apabila ada segelintir pendidik turut mengayakan pelbagai pakaian kerjaya, karakter dan sebagainya untuk memeriahkan majlis.
Malah para pelajar tidak ketinggalan untuk memberikan hadiah istimewa kepada guru sebagai salah satu cara untuk menghargai jasa mereka.
Pelajar beri guru jambangan sayur-sayuran
Perkara sama turut dilakukan oleh beberapa orang pelajar di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Slim River, Perak apabila memberikan hadiah yang unik sehingga membuatkan gurunya gembira sebaik menerima pemberian tersebut.
Menerusi video yang dikongsikan Nur Sylvia Edan di TikTok, awalnya kelihatan seorang pelajar perempuan telah mendekati gurunya sambil memberikan jambangan sayur-sayuran yang dibalut seperti ‘bouquet’ bunga.
Setiap ‘item’ pada jambangan adalah bahan yang boleh digunakan untuk masakan
Namun apa yang lebih menarik perhatian setiap helaian termasuk daun yang diguna untuk membalut jambangan bunga itu merupakan bahan yang boleh digunakan untuk masakan.
Kelihatan ibu atau bapa kepada kanak-kanak ini turut meletakkan reben pada jambangan tersebut. Pada video tersebut dapat dilihat dalam jambangan itu terdapat daun kunyit, pucuk paku, bunga kantan, cili api serta ulam-ulaman lain.
Siap dapat kuali
Sebaik pelajar itu memberikan jambangan sayur-sayurannya, datang dua orang lagi pelajar yang turut memberikan hadiah yang dipercayai mangga muda.
Malah guru tersebut turut dilihat menerima hadiah kuali yang dibeli dari Mr DIY.
Dalam video sama kelihatan para pelajar sangat gembira memberikan kesemua hadiah tersebut kepada guru mereka. Malah Nur Sylvia turut menyifatkan dia sangat suka menerima hadiah unik tersebut.
Kata guru berkenaan sewaktu ditemubual BuzzKini, para pelajar yang memberikan hadiah tersebut adalah etnik orang asli dari suku kaum Semai.
@misaikeli88 Sukanyaaaa kita hikhikhik #hadiahhariguru
♬ Favourite Thing – Yuna
Ramai yang teruja dengan hadiah diterima oleh guru
Mengintai di ruangan komen ramai yang berpendapat itu adalah hadiah paling menarik yang pernah mereka lihat.
Malah ada yang turut rasa terharu apabila mengenangkan usaha ibu bapa pelajar yang bersusah payah untuk memberika hadiah kepada guru anak mereka.
Menurut guru berkenaan mungkin disebabkan para cikgu sering memberikan jambangan bunga pada pelajar setiap kali adanya program membuatkan mereka ingin melakukan perkara sama.
“Paling terharu juga tengok.. betapa ibunya sedaya upaya nak juga bagi hadiah dekat cikgu apa yang mereka mampu”

“Wah, bestnya. Cantik dan kemas ikatannya. Ni yang paling win. Ada murid saya kurang mampu.. Dia nak juga bagi hadiah dekat cikgu”

“Ya Allah comelnyaa, bouquet tu love sangat. Bunga paling wangi”
