Gelora udara teruk menyebabkan satu kematian dan 30 lagi cedera dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang terbang dari London ke Singapura pada hari ini (21 Mei) yang mengakibatkan pesawat tersebut diubah haluan ke Bangkok.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook, SIA memaklumkan bahawa keutamaan mereka adalah memberikan segala bantuan yang mungkin kepada 211 penumpang dan 18 kru di atas pesawat tersebut.
“Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan, dan menghantar satu pasukan ke Bangkok untuk memberikan bantuan tambahan yang diperlukan,” jelas SIA dalam kenyataan itu.
Gambar-gambar kejadian telah mula tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp jelas menunjukkan seorang kru kabin wanita dengan hidung berdarah dan penumpang duduk di dalam pesawat yang dibanjiri serpihan, dengan topeng oksigen tergantung dari siling.
Namun setakat ini, masih belum diketahui jika ada warganegara Malaysia dalam penerbangan tersebut dan pihak BuzzKini akan mengemas kini artikel ini sejurus menerima maklumat lanjut.
Siti Murni Azman
Siti Murni is a Sponsored Content Writer for BuzzKini. Well, hello to you too! :)