“Moga Cepat Kaya” – Pemilik Rumah Disindir Kerana Mahu Sewakan Ruang Tamu Dengan 1 Katil Pada Harga RM170
Tuan rumah itu menawarkan ruang tamu yang dilengkapi dengan katil bujang berserta pasu bunga dengan harga RM170 kepada bakal penyewa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kebiasaannya, seseorang individu akan lebih cenderung mencari rumah atau bilik sewa lebih-lebih lagi jika tempat kerja mereka berjauhan dengan kediaman di kampung halaman.
Antara kriteria penting yang perlu diteliti oleh seseorang sebelum menyewa mana-mana kediaman adalah dari aspek keselesaan, harga, fasiliti, jarak dengan tempat kerja dan sebagainya.
Pun begitu, ada juga segelintir tuan rumah menawarkan harga menarik dengan keadaan bilik menyewa yang tidak masuk akal.
Bukan Sewa Bilik, Tetapi Ruang Tamu
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Facebook Mat Dan menyaksikan satu tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara lelaki tersebut bersama seorang tuan rumah.
Menerusi foto dikongsi, kelihatan individu tersebut sedang bertanya tentang kos sewaan untuk sebuah bilik. Menjawab kepada persoalan itu, tuan rumah berkata harga ditetapkan adalah sebanyak RM170.
Bagi mendapatkan kepastian mengenai tempat yang akan disewa, bakal penyewa bertanya sama ada harga tersebut adalah untuk sebuah bilik bujang.
Perkara yang membuatkan individu tersebut terkejut adalah sewaan berkenaan bukanlah untuk sebuah bilik tetapi ruang tamu!
Gambar dikongsikan oleh tuan rumah berkenaan hanyalah ruang tamu yang dilengkapi dengan sebuah katil bujang berserta pasu bunga di sebelahnya.
Apabila si tuan rumah bertanya sama ada individu itu berminat dengan tawaran berkenaan, bakal penyewa hanya menjawabnya dengan ayat berunsur sindiran.
“Moga cepat kaya bos, amin,” kata bakal penyewa.
Netizen Mengadu Ruang Tamu Yang Ditawarkan Tiada Privasi
Menjengah ke ruangan komen, segelintir netizen berpendapat tawaran tersebut adalah tidak munasabah kerana penyewa tidak mempunyai privasi untuk berehat.
“Saya memang suka tidur di ruang tamu tetapi kalau menyewa macam ni memang taklah. Tiada privacy langsung,” kata seorang wanita.
Malah ada pengguna Facebook berkata bahawa perkara tersebut adalah keadaan dan situasi sebenar di beberapa kediaman yang lain.
“Keadaan dan situasi benar. Tempat lain tak pasti tetapi mari datang sini. Tak kira rumah jenis apa pun, teres, kondominium, apartment, flat, pukul rata,” jelas seorang lelaki.
Sementara itu, ada yang berkata ruang tamu yang tidak mempunyai privasi akan membawa kepada ketidakselesaan para penyewa.
“Tak selesa sebab kitanya suka pakai baju dalam saja masa tidur,” ujar seorang warganet.
Buat anda yang sedang mencari kediaman untuk menyewa, jangan lupa tanyakan segala maklumat dan butiran tentang tempat tersebut kepada tuan rumah.
Kalau dah bayar deposit sewa nanti, anda juga yang akan rugi kalau tempat itu tidak menepati cita rasa. Hati-hati semua, jangan tertipu!
Baca Artikel Berkaitan: Penyewa Selamba Tak Bayar Sewa Rumah Lebih 4 Tahun Siap Ada Tunggakan Bil Elektrik RM21,000 Raih Perhatian Ramai