Rakaman Pelajar Gred 5 Di Thailand Beri Adik Minum Susu Sambil Belajar Dalam Kelas Buat Ramai Tersentuh [Video]
Menurut guru sekolah Ban Klong Kaem, pelajar itu merupakan anak perempuan sulung dan terpaksa menjaga adik kecilnya kerana ibu sibuk menguruskan hal penting.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kanak-kanak yang berusia sekitar lima tahun dan ke atas pasti akan dihantar ke sekolah untuk menambah ilmu pengetahuan mereka.
Tidak hanya diajar subjek asas sebaliknya mereka juga belajar cara untuk bersosial dan berdikari.
Pelajar perempuan terpaksa bawa dan susukan adik ketika sedang belajar di sekolah
Namun di saat pelajar lain menikmati keseronokkan belajar dan dapat berjumpa rakan-rakan seorang murid perempuan di Thailand ini dilihat perlu menjaga adiknya ketika berada di sekolah.
Memetik laporan The Thaiger, sebelum ini tular rakaman memaparkan pelajar gred 5 itu sedang memberikan susu kepada adiknya sambil belajar di dalam kelas sehingga menarik perhatian jutaan penonton di Thailand.
Tangan kanan gigih menulis manakal tangan kiri memangku adik yang sedang menyusu
Menerusi video yang dimuat naik oleh @Yingggzz di TikTok, kelihatan pelajar perempuan yang mesra dipanggil Green itu sedang menyalin di dalam buku latihan menggunakan tangan kanannya.
Manakala pada tangan kiri pula dia sedang memangku adik keciknya yang berusia sekitar satu tahun. Dalam video itu, kelihatan si comel itu sedang sibuk meminum susu di dalam botol sambil memerhatikan wajah kakaknya.
Apa yang menyentuh perasaan ramai, guru di Sekolah Ban Klong Kaem, Prachin Buri yang merakam perkara itu turut memaklumkan pelajar terbabit merupakan anak sulung dalam keluarganya.
Guru tak mahu pelajarnya ponteng sekolah, benarkan bawa adik
“Dia adalah kakak sulung dalam keluarga. Ibunya sibuk menguruskan hal penting. Ini adalah lebih baik daripada terpaksa ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga adik, bukan?
“Saya tidak pasti apa yang guru lain akan rasa, tapi saya sentiasa beritahu pelajar saya untuk tidak ponteng kelas… dan dia benar-benar melakukannya.
“Nasib baik adiknya tidak nakal,” kata guru berkenaan.
Ramai tersentuh lihat kegigihan kakak jaga adik, puji tabah dan multitasking
Perkara itu mendapat sambutan yang baik daripada netizen apabila rata-rata memuji Green atas ketabahan dan kebolehannya dalam melakukan pelbagai kerja (multitask) lapor Thai PBS World.
“Dia seorang yang tabah, menulis dengan sebelah tangan dan sebelah lagi mendukung adik,” kata netizen.
Selain itu, orang ramai turut memuji guru berkenaan kerana mempunyai sifat empati apabila membenarkan Green membawa adiknya sewaktu belajar dalam kelas berkenaan.
Dalam video sama turut kelihatan pelajar lain sedang sibuk menulis dalam buku latihan mereka.