fbpx
Now Reading
Subsidi Diesel BUDI MADANI: Ini FAQ Tentang BUDI Agri-Komoditi Buat Petani & Pekebun Kecil

Subsidi Diesel BUDI MADANI: Ini FAQ Tentang BUDI Agri-Komoditi Buat Petani & Pekebun Kecil

Individu yang layak mengikut kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan Budi Agri-Komoditi Buat Petani & Pekebun Kecil bermula hari ini (28 Mei).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (27 Mei), Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI khusus buat pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Pelaksanaan bantuan ini merupakan susulan daripada pengumuman khas yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mei yang lalu berhubung penyelarasan subsidi bahan api diesel buat pengguna di Semenanjung Malaysia.

Individu yang layak mengikut kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan bermula hari ini (28 Mei) di https://budimadani.gov.my dan akan menerima RM200 sebulan.

Foto: Kementerian Kewangan

Buat petani kecil dan pekebun kecil, anda boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

Berikut kami kongsikan soalan lazim (FAQ) berhubung BUDI Agri-Komoditi – Petani Kecil dan Pekebun Kecil:

1. Apakah itu BUDI Agri-Komoditi?

BUDI Agri-Komoditi merupakan sumbangan tunai Kerajaan lanjutan daripada pelaksanaan program penyasaran semula subsidi diesel. Kategori ini adalah khusus untuk petani kecil (Tanaman, Akuakultur, dan Ternakan) dan pekebun kecil (Sawit, Getah, Koko, Lada, dan Kenaf) di Semenanjung Malaysia yang berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

2. Siapakah yang layak memohon dan menerima bantuan BUDI Agri-Komoditi?

Bagi kategori pertanian, pengusaha pertanian termasuk petani dan penternak yang terlibat dalam aktiviti tanaman, ternakan dan akuakultur layak memohon bantuan penyasaran subsidi diesel. Pesawah dan nelayan tidak terlibat untuk penyasaran subsidi diesel fasa pertama ini. Subsidi sedia ada akan diteruskan sehingga dimaklumkan kelak.

Bagi kategori perladangan pula, pengusaha pertanian termasuk pekebun kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf layak memohon.

Kriteria kelayakan bantuan penyasaran subsidi diesel sektor pertanian dan perladangan adalah seperti berikut:

Petani Kecil*
i. Warganegara Malaysia;

ii. Individu/ Pertubuhan yang berdaftar dengan KPKM melalui sistem pendaftaran GeoAgro di pautan https://geoagro-register.kpkm.gov.my/ ataupun telah berdaftar dengan agensi berkaitan iaitu:

  • Sektor tanaman dengan Jabatan Pertanian Malaysia (tidak termasuk pesawah padi)
  • Sektor ternakan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan
  • Sektor akuakultur dengan Jabatan Perikanan Malaysia (tidak termasuk nelayan);

iii. Individu/Pertubuhan yang merupakan pengusaha pertanian berskala kecil yang memiliki dan mengusahakan hasil pertanian makanan dan menghasilkan pengeluaran secara aktif dan berterusan. Bagi tujuan ini, pengusaha pertanian kecil yang aktif ditakrifkan yang menjana nilai jualan hasil pertanian tahunan dari RM50,000 hingga RM300,000; dan

iv. Memohon secara dalam talian di laman web BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my termasuk mengesahkan memenuhi kriteria kelayakan termasuk tahap nilai jualan tahunan.

Pekebun Kecil*

i. Warganegara Malaysia;

ii. Individu perlu berdaftar dengan agensi di bawah Kementerian Perladangan & Komoditi, seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi pekebun kecil persendirian, Lembaga Getah Malaysia (LGM) Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Lembaga Lada Malaysia;

iii. Sebagai panduan, pekebun kecil melibatkan keluasan tanah yang dimiliki dan diusahakan mengikut sektor komoditi /jenis tanaman seperti berikut:

  • Pekebun kecil Sawit persendirian: keluasan 4.5 hektar ke bawah
  • Pekebun kecil Getah persendirian: keluasan 4.5 hektar ke bawah
  • Pekebun kecil Koko, Lada dan Kenaf persendirian: keluasan 2.5 hektar ke bawah

iv. Individu yang merupakan pekebun kecil yang memiliki dan menghasilkan pengeluaran secara aktif dan berterusan. Bagi tujuan ini, pekebun kecil yang aktif ditakrifkan yang menjana nilai jualan hasil perladangan tahunan dari RM50,000 hingga RM300,000; dan

v. Memohon secara dalam talian di laman web BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my termasuk mengesahkan memenuhi kriteria kelayakan termasuk tahap nilai jualan tahunan.

*Nota: Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia boleh membuat semakan ke atas maklumat pendapatan yang telah dikemukakan dan sekiranya perlu, mengeluarkan notis di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 ke atas pemohon bagi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan.

3. Adakah petani / pekebun kecil yang tidak memiliki kenderaan jenis diesel, layak mendapat BUDI Agri-Komoditi?

Layak sekiranya memenuhi kriteria seperti petani kecil atau pekebun kecil di atas dan berdaftar dengan agensi Kerajaan yang berkaitan di bawah KPKM dan KPK.

4. Saya merupakan pekebun kecil di bawah FELDA, FELCRA dan RISDA adakah saya juga layak menerima bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi?

Pekebun kecil tersusun di bawah FELDA, FELCRA dan RISDA tidak layak untuk bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi kerana Kerajaan akan menyalurkan subsidi diesel dan bantuan lain yang berkaitan terus kepada pihak FELDA, FELCRA dan RISDA. Kerajaan akan terus meneliti kriteria kelayakan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi bagi memastikan bantuan disediakan bagi pekebun kecil yang terkesan secara langsung akibat kenaikan harga diesel.

5. Bilakah permohonan BUDI Agri-Komoditi akan dibuka?

Permohonan BUDI Agri-Komoditi telah dibuka mulai 28 Mei 2024.

6. Bagaimanakah cara memohon bantuan BUDI Agri-Komoditi?

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my, setelah pendaftaran dengan KPKM dan KPK selesai.

7. Adakah pendaftaran secara manual bagi bantuan BUDI Agri-Komoditi boleh dilakukan?

Pendaftaran hanya boleh dilakukan secara dalam talian. Pada masa yang sama pemohon boleh hadir ke jabatan/agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan.

Permohonan boleh dibuat melalui Portal BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my.

8. Berapa lama proses kelulusan kelayakan bantuan BUDI Agri-Komoditi?

Pemohon boleh menyemak status permohonan dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

9. Bagaimanakah cara untuk menyemak sama ada saya layak untuk menerima bantuan BUDI Agri-Komoditi?

Kriteria kelayakan telah ditentukan oleh KPKM bagi petani kecil dan KPK bagi pekebun kecil adalah seperti di atas. Pada masa yang sama, sebarang pertanyaan lanjut pemohon boleh menghubungi talian KPKM di 03-88701207 bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin hingga Jumaat atau e-mel kepada geoagroadmin@kpkm.gov.my bagi petani kecil.

Bagi pekebun kecil pula, pertanyaan boleh dipanjangkan kepada talian KPK di 03-8880 3426/ 03-8880 3431 bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin hingga Jumaat atau e-mel kepada subsididiesel@kpk.gov.my.

10. Bagaimana mengetahui status permohonan bantuan BUDI Agri-Komoditi?

Maklumat lanjut berkenaan status permohonan boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

11. Bagaimanakah kaedah pembayaran BUDI Agri-Komoditi ini akan dibuat?

Pembayaran akan dikreditkan ke akaun yang berdaftar dalam sistem BUDI MADANI atau sekiranya penerima yang lulus tiada akaun bank, bantuan dapat diterima secara tunai di mana- mana Cawangan BSN.

12. Setelah mendapat kelulusan permohonan, apakah tempoh yang akan diambil untuk menyalurkan bantuan tunai tersebut?

Maklumat lanjut berkenaan status permohonan boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

13. Bilakah tarikh pembayaran BUDI Agri-Komoditi akan dibuat?

Maklumat lanjut berkenaan tarikh pembayaran boleh diperolehi dengan menekan butang “Semak Status” pada papan pemuka (dashboard) permohon.

14. Apakah kekerapan pembayaran BUDI Agri-Komoditi ini?

Pembayaran BUDI Agri-Komoditi akan dilaksanakan secara bulanan dan tarikh pembayaran akan dimaklumkan kepada pemohon yang layak dari semasa ke semasa.

KPKM dan KPK akan membuat proses verifikasi secara berkala bagi memastikan hanya penerima yang layak menerima bantuan tunai.

15. Sekiranya saya tidak mempunyai akaun bank apa yang perlu saya lakukan?

Pemohon yang diluluskan namun tidak mempunyai akaun bank boleh ke mana-mana Cawangan BSN untuk menerima pembayaran secara tunai.

16. Jika saya lewat mendaftar dari tarikh permohonan dibuka, adakah saya menerima bayaran BUDI Agri-Komoditi untuk bulan-bulan sebelumnya?

Tidak. Bayaran BUDI Agri-Komoditi hanya akan dibuat mulai bulan permohonan diluluskan.

17. Pendapatan kasar tahunan saya daripada nilai jualan hasil pertanian adalah berjumlah RM49,000. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Agri-Komoditi?

Tidak layak kerana julat pendapatan kasar tahunan daripada nilai jualan hasil pertanian yang ditetapkan bagi kriteria kelayakan penerima bantuan adalah dari RM50,000 hingga RM300,000. Namun, pemohon boleh mengemukakan permohonan rayuan kepada portal BUDI https://budimadani.gov.my dengan asas kenapa pemohon wajar ditakrifkan sebagai pekebun kecil yang aktif.

18. Pendapatan kasar tahunan saya daripada nilai jualan hasil pertanian adalah berjumlah RM350,000. Adakah saya layak untuk memohon BUDI Agri-Komoditi?

Tidak layak kerana julat pendapatan kasar tahunan daripada nilai jualan hasil pertanian yang ditetapkan bagi kriteria kelayakan penerima bantuan adalah dari RM50,000 hingga RM300,000 setahun. Namun, pemohon boleh mengemukakan permohonan rayuan kepada portal BUDI https://budimadani.gov.my dengan asas kenapa pemohon wajar ditakrifkan sebagai pekebun kecil yang aktif.

19. Apakah jenis bantuan yang akan diterima di bawah BUDI Agri-Komoditi?

Permohonan yang diluluskan akan menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 dan dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon pada setiap bulan mulai Jun 2024.

20. Adakah rayuan boleh dibuat sekiranya permohonan tidak diluluskan?

Pemohon yang memenuhi kriteria kelayakan perlu berdaftar dengan Kementerian yang berkenaan terlebih dahulu.

Selepas itu, pemohon digalakkan untuk mengemukakan permohonan baharu (sekiranya belum memohon), atau mengemukakan permohonan rayuan kepada portal BUDI https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI atau mengemukakan emel kepada budimadani@treasury.gov.my

21. Apakah justifikasi pendapatan kasar tahunan ditetapkan antara RM50,000 hingga RM300,000?

Kriteria pendapatan kasar tahunan petani kecil dan pekebun kecil ditetapkan sehingga RM300,000 adalah selari dengan definisi rasmi pengusaha mikro iaitu meraih pendapatan kasar tahunan sehingga RM300,000.

Pendapatan kasar tahunan minimum ditetapkan sebanyak RM50,000 bagi memastikan individu yang mengisytihar diri merupakan petani kecil atau pekebun kecil dan bukan individu yang memiliki tanaman pertanian untuk kegunaan sendiri. Pendapatan kasar tahunan minimum yang ditetapkan juga mengambil kira jualan hasil petani sepenuh masa melebihi RM4,000 sebulan.

22. Siapakah yang saya boleh hubungi sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung BUDI Agri-Komoditi?

  • Pertanyaan berkaitan bantuan bagi petani kecil boleh dipanjangkan melalui talian KPKM: 03-88701207 dan e-mel : geoagroadmin@kpkm.gov.my.
  • Waktu operasi : 8.30 pagi – 5.30 petang (Isnin hingga Jumaat)
  • Pertanyaan berkaitan bantuan bagi pekebun kecil pula boleh dipanjangkan ke KPK melalui talian: 03-8880 3426/ 03-8880 3431 dan e-mel: subsididiesel@kpk.gov.my;
  • Waktu operasi: 8.30 pagi – 5.30 petang (Isnin hingga Jumaat).
  • Pertanyaan umum berkenaan BUDI MADANI boleh disalurkan melalui emel kepada budimadani@treasury.gov.my.

23. Saya gagal untuk mendaftar bagi program BUDI Agri-Komoditi, di manakah saya boleh mendapatkan bantuan?

Sekiranya gagal mendaftarkan diri atau menerima keputusan tidak diluluskan (dan pemohon memenuhi syarat kelayakan BUDI Agri-Komoditi), pemohon digalakkan untuk mengemukakan rayuan atau menghubungi pusat panggilan.

Foto: Kementerian Kewangan

Baca Artikel Berkaitan: Kabinet Setuju Laksana Penyasaran Subsidi Bahan Api Diesel – PMX

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.