Rosyam Nor Nasihat Henti Guna Istilah ‘Pelakon Kayu’ Pada Artis Baharu
Menurutnya, istilah tersebut tidak sepatutnya digunakan kerana para pelakon ini masih baru dalam industri dan perlu diberikan lebih banyak pendedahan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pelakon senior dan usahawan, Datuk Rosyam Nor menasihati segelintir pihak untuk berhenti menggunakan istilah ‘pelakon kayu’ kepada artis baharu.
Beliau turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila ada segelintir pihak yang mengkritik kualiti lakonan pelakon baharu sehingga menggunakan istilah tersebut.
Pelakon baharu perlu diberi lebih banyak pendedahan
Menurutnya, ungkapan tersebut tidak sepatutnya digunakan kerana para pelakon ini masih baru dalam industri dan perlu diberikan lebih banyak pendedahan.
“Janganlah mengecam (mengkritik) artis baharu dengan memanggil mereka kayu. Beri mereka peluang dan apabila berada dalam industri, mereka akan tahu bagaimana ‘permainan’ anak seni itu.
“Lama-kelamaan mereka akan berubah. Bagi masa dan peluang untuk mereka membuat perubahan. Saya dulu pun berlakon teruk, kalau lihat semula lakonan saya macam ‘tahi’,” katanya dipetik Kosmo.
Media sosial beri pengaruh besar kepada kerjaya lakonan dan bakat baharu
Menurutnya lagi, media sosial pada masa kini juga memberi pengaruh besar terhadap bakat baharu dan kerjaya lakonan.
Jelas Rosyam, platform digital itu membuka ruang lebih luas untuk berinteraksi terus dengan khalayak dan mempamerkan kreativiti masing-masing.
“Berbeza dulu dengan sekarang. Dahulu jika mahu tunjuk kebolehan, perlu menyertai pertandingan nyayian atau program pencarian bakat seperti Sinaran Pasport Kegemilangan atau Akademi Fantasia.
“Sekarang hanya dengan menggunakan media sosial boleh tunjukkan bakat sama ada menyanyi, berlakon atau apa sahaja kebolehan seni yang ada. Malah, mereka yang terkenal dalam media sosial digelar selebriti media sosial,” katanya lagi.
Rosyam Nor harap orang ramai terbuka menerima kehadiran artis baharu
Pelakon filem KL Menjerit dan Castello itu turut mengharapkan agar orang ramai terbuka menerima kehadiran artis baharu terutama mereka yang mula dikenali menerusi media sosial.
“Berbanding dahulu dengan sekarang semuanya sama, cuma zaman sahaja sudah berubah. Dahulu ada artis yang bermula sebagai model majalah kemudian menjadi pelakon.
“Sama juga sekarang apabila daripada media sosial jadi pelakon. Semua itu sama yang berubah hanyalah revolusi media sosial. Dahulu yang ada cuma pelakon filem dan televisyen. Tetapi sekarang pelbagai platform digital tumbuh bagai cendawan.
“Jadi, industri sendiri memerlukan banyak pelapis dan wajah baharu untuk memenuhi semua kehendak itu,” ujarnya.