
‘Umur 26 Tahun Jadi Cashier Je?’- Makcik ‘Judge’ Juruwang yang Sebenarnya Pemilik Kedai Makan
Menurut Qamarul yang juga pemilik restoran Mee Kicap Ipoh, makcik itu hanya ketawa sebaik mengetahui dia adalah pemilik kedai makan berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi kewajipan buat semua golongan yang sudah dewasa untuk bekerja.
Oleh itu, ramai yang mencari kerja mengikut bidang yang diminati atau yang memberikan peluang kerjaya kepada mereka.
Bukan hanya itu, ada juga yang lebih berminat untuk menceburi bidang perniagaan untuk mencari rezeki selain dapat membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada individu lain.
Namun terdapat segelintir individu yang mempunyai sikap negatif apabila suka memandang rendah terhadap pekerjaan seseorang walhal ia adalah rezeki kerja yang halal.
Makcik ‘judge’ kerana kerja juruwang
Baru-baru ini, seorang lelaki telah berkongsi di laman X tentang gelagat seorang wanita yang menilai kerjayanya ketika sedang menjadi juruwang di sebuah restoran.
Menurut lelaki yang dikenali sebagai Qamarul Qashroff, sebuah keluarga telah datang ke restoran miliknya iaitu Mee Kicap Ipoh di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Mungkin sudah selesai makan, seorang wanita yang digelar makcik kemudian datang ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Namun setibanya wanita tersebut di kaunter dia telah bertanya umur Qamarul yang kebetulan sedang menguruskan kaunter pembayaran.
“Aku jaga cashier (juruwang) pastu ada (makcik) tanya umur berapa? Cakaplah 26 tahun.
“Lepas tu dia cakap umur 26 tahun kerja cashier je ke?” tulisnya di X.
Ketawa lepas tahu juruwang adalah pemilik kedai
Qamarul kemudian mengatakan meskipun menjadi seorang juruwang namun dia juga adalah pemilik kepada restoran berkenaan. Malah Qamarul turut memaklumkan kepada makcik tersebut perkara yang sebenar.
Sewaktu ditanya BuzzKini apakah reaksi makcik tersebut, Qamarul mengatakan kejadian tersebut berlaku pada minggu lepas dan sebaik mengetahuinya makcik itu hanya tertawa.
Makcik tersebut turut menunjukkan ke arah anak perempuannya yang berada di sebuah meja. Dia juga memaklumkan anaknya itu masih belum ‘berpunya’.
Anggap pertanyaan makcik sekadar bergurau dan cara untuk mulakan perbualan
Dia bagaimanapun hanya tersenyum dan menganggap pertanyaan makcik itu mungkin sekadar caranya untuk berbual.
Qamarul memaklumkan perkara seperti itu sering berlaku kepadanya dan pekerja secara rawak dan mereka mungkin ingin bergurau.
“Kejadian minggu lepas. Tapi pandangan rendah terhadap saya dan pekerja selalu berlaku secara random. Kadang mereka nak ajak bergurau tapi muka serius,” katanya.
Pekerja ada yang masih belajar dan kerja sementara cuti semester
Menurutnya lagi, persepsi negatif seperti ini boleh membuatkan generasi muda takut untuk menceburi bidang peruncitan, makanan (Food and Beverage), hospitaliti, juruwang dan sebagainya.
Malah ada yang sanggup menganggur daripada dipandang sebegitu rupa, walhal ada saja diantara pekerja itu hanya inginkan pengalaman sementara sedang cuti daripada belajar (cuti semester) atau meneruskan kehidupan yang selesa dan halal.
Rata-rata staf yang bekerja di restoran berkenaan berusia sekitar 19 hingga 40 tahun.
“Kebanyakan pelayan restoran berumur 19-22 tahun, semuanya tu masih belajar mencari ‘duit poket’. Rajin dia orang.”
Ditanya adakah wanita tersebut merupakan pelanggan tetapnya, dia memberitahu makcik terbabit bukan pelanggan tetapnya.
Selalu ada di kaunter dan pakai baju sama seperti pekerja
Jelas Qamarul lagi, dia sering berada di kaunter pembayaran dan adakalanya memakai baju yang sama dengan pekerja lain. Sewaktu kejadian itu berlaku dia memakai baju uniform kedai.
Dalam masa sama, Qamarul memaklumkan dia sudah lama menjalankan perniagaan restoran bersama keluarga dan sudah mempunyai dua cawangan kedai Mee Kicap Ipoh yang beroperasi dari 12 tengah hari sehingga 10 malam setiap hari.
Restoran pertama di Southville City, Bangi dan keduanya di Cheras yang baru dibuka pada 2 Mac lalu.
Dia juga sempat berkongsi bahawa ibu bapanya berasal dari Perak dan resepi mee tersebut diturunkan oleh nenek kepada ibunya namun mereka menginovasikannya mengikut selera generasi muda dengan meletakkan menu itik salai, ayam goreng rangup, roti mantau dan sebagainya.
Aku jaga cashier pastu ada tanya umur berapa, ckp la 26 tahun. Pstu dia ckp umur 26 tahun kerja cashier je ke ? 🤧🤧🤧
— Arulll (@QamarulQashroff) May 30, 2024
Makcik, saya owner kedai tau 😫
Ramai kongsi pengalaman berdepan situasi sama
Melihat di ruangan balas, ramai yang meluahkan mereka kurang selesa dengan sikap segelintir individu yang terlalu mudah menilai seseorang.
Malah ada juga yang berkongsi pengalaman berdepan dengan situasi seperti itu.
“Pernah juga kena macam ni, makcik tu mak kawan saya. Pandang atas bawah dan bukanlah pemilik kedai hanya pengurus. Tapi dia tak tahu gaji aku lagi banyak dari anak dia! Anak dia yang selalu hutang dengan aku”

“Pernah kerja 7E, Cakap dengan pelanggan dalam English sebab dia tanya dalam bahasa Inggeris (BI). Dia kata eh pandai cakap BI walau kerja 7E. Senyum je masa tu, waktu tu tengah cuti sem degree TESL”

“Tak kisahlah orang tu kerja apa sekali pun. Asalkan rezeki yang dia cari tu halal”
