fbpx

Video Tular Axia TBY Di Parkir Masjid, Anak Pemilik Kenderaan Tampil Beri Penjelasan

Menurut anak kepada pemilik Perodua Axia itu, kenderaan terbabit telah dipinjamkan kepada seorang rakan adiknya ketika kejadian berlaku.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang didakwa terdapat pasangan lelaki dan wanita sedang melakukan perbuatan tidak senonoh di kawasan parkir sebuah masjid.

Video tersebut yang sohor di media sosial telah meraih perhatian ramai sehingga ‘Axia TBY’ menjadi trending di semua platform media sosial dan meraih kecaman ramai.

Lebih parah lagi, pemilik Perodua Axia itu juga diugut dan diancam oleh segelintir pihak yang berasa marah atas perbuatan yang dilakukan oleh pemandu serta penumpang kenderaan berkenaan.

Anak pemilik Perodua Axia tampil beri penjelasan

Terbaharu, anak kepada pemilik Perodua Axia yang dikenali sebagai Hilmi Hamdan tampil memberi penjelasan berhubung kejadian demi membersihkan nama keluarganya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Hilmi berkata kenderaan tersebut adalah milik bapanya yang juga seorang pesara guru.

“Axia TBY **** adalah kereta milik ayah saya, seorang pesara guru dan kini seorang imam surau. Nama ayah saya telah ditularkan bersama alamat rumah kami,” katanya.

Kereta digunakan adik bongsu yang belajar di Kuala Lumpur

Menurutnya, kereta tersebut telah digunakan oleh adik bongsunya yang merupakan lepasan hafiz dan kini sedang menyambung pelajaran di Kuala Lumpur.

“Adik saya merupakan lepasan tahfiz, dan di sana dia juga menjadi imam dan guru mengaji. Kami insya-Allah datang dari keluarga yang baik, bukan pembuat maksiat sebagaimana ditularkan.”

Hilmi Hamdan

Adik beri pinjam kereta kepada kawan semasa kejadian

Semasa kejadian, Hilmi berkata kenderaan tersebut telah dipinjamkan kepada kawan adiknya semasa pelajar itu berada di sebuah perpustakaan.

Menurutnya lagi, kenderaan itu dipinjamkan kepada kawan adiknya dengan alasan untuk menghantar seorang lagi rakan ke sebuah klinik.

“Peristiwa dan rakaman tersebut berlaku selepas mereka ke klinik dan pesalah dalam kereta itu adalah kawan adik saya. Bukan adik saya, apatah lagi ayah saya sebagai pemilik kereta.

“Saya dimaklumkan bahawa budak tersebut telah ke masjid untuk menyelesaikan perkara ini dengan perakam video dan pihak berkaitan.

“Jika kes ini dipanjangkan ke Pejabat Agama, ia bukan lagi menjadi tanggungjawab kami. Saya hanya ingin membersihkan nama ayah saya yang telah ditularkan dan dilemparkan kata-kata kesat,” katanya lagi.

Dalam posting sama, dia turut memaklumkan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urursan tertentu sebelum bertemu dengan pelaku yang juga rakan adiknya itu.

Ada pihak tidak dikenali hubungi bapanya, kereta Axia terpaksa disimpan dahulu

Berkongsi lanjut, Hilmi menyatakan telah terdapat beberapa nombor telefon yang tidak dikenali menghubungi ayahnya.

Malah dia menjelaskan kenderaan tersebut terpaksa ‘direhatkan’ oleh adiknya buat sementara waktu kerana terdapat beberapa ancaman.

Hilmi turut meminta orang ramai agar berkongsikan penjelasannya itu agar lebih ramai pihak yang mengetahui perkara sebenar.

“Saya berharap pesalah itu insaf dan mengambil pengajaran atas keterlanjuran dan kekalahan kepada godaan syaitan. Moga Allah pelihara maruah kita semua,” ujar Hilmi.

Pesalah telah memohon maaf kepada keluarga pemilik Axia dan serah diri kepada AJK masjid

Dalam posting terbaharu, Hilmi memaklumkan pelaku sudahpun menyerah diri kepada AJK Masjid Gombak Utara, Selangor di mana insiden itu berlaku.

Malah, pelaku turut memohon maaf kepada ahli keluarga Hilmi. Selain pelaku, individu yang menularkan video berkenaan turut memohon maaf.

“Pesalah lelaki telah ‘serah diri’ kepada pihak AJK masjid Gombak Utara di mana kesalahan itu dibuat. Dia menemui sendiri perakam, tukang viral, & beberapa AJK Masjid. Katanya ada kesefahaman antara kedua-dua pihak sebagai syarat permohonan maaf diterima.

“Tukang viral juga telah meminta maaf kepada keluarga kami kerana kesan dari video dia menyebabkan pemilik kereta yang dikecam. Tujuan mereka ‘amar makruf nahi mungkar’ tu sudah bagus dan berhasil bertemu dengan pesalah. Tetapi maharnya agak pedih kerana pemilik kereta pula yang telah terfitnah. Walaubagaimanapun, kami kira ada sesuatu hikmah yang telah Allah lukiskan, untuk kebaikan semua pihak,” jelasnya.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pelaku kerana isu tersebut sudah dianggap selesai.

Tular pemandu Axia didakwa buat perkara tak senonoh dalam masjid

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki menerjah sebuah kenderaan yang sedang memarkir di sebuah masjid dalam keadaan mencurigakan.

Lelaki terbabit mendapati terdapat sepasang kekasih di dalamnya yang didakwa sedang melakukan perbuatan tidak senonoh.

Pemandu kereta berkenaan yang sedar akan kehadiran lelaki terbabit sambil merakam telah bertindak melarikan diri.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.