fbpx

Tak Sampai Beberapa Saat! Kereta Honda City Dibawa Lari Ketika Berhenti Di Stesen Minyak Semambu, Kuantan [Video]

Menerusi rakaman CCTV, kelihatan dua pekerja stesen minyak terbabit cuba untuk mengejar kereta Honda City yang dibawa lari menggunakan motosikal.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam (3 Jun) tular satu hantaran oleh seorang wanita di laman X memaklumkan kenderaan ahli keluarganya telah dicuri sewaktu berhenti dekat sebuah stesen minyak Semambu, Kuantan, Pahang.

Menerusi hantaran oleh wanita di kenali sebagai Diana Parish, dia memuat naik dua gambar menunjukkan sebuah kenderaan Honda City berwarna merah yang dicuri pada jam sekitar 3.11 petang, semalam.

Selain itu dia turut meminta orang ramai untuk menguar-uarkannya agar kereta itu dapat dikesan dengan secepat mungkin.

Lelaki bawa lari kereta Honda City di stesen minyak

Dalam bebenang hantaran itu, Diana turut berkongsi beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang lelaki yang membawa lari kenderaan tersebut.

Menerusi video, awalnya kelihatan seorang wanita yang juga sepupu kepada Diana keluar daripada tempat duduk pemandu.

Dalam masa sama, datang seorang lelaki yang awalnya berdiri di sebuah motosikal berdekatan yang kemudiannya masuk ke tempat duduk pemandu lalu memecut laju meninggalkan kawasan stesen minyak berkenaan.

Penumpang cuba keluar namun tak sempat, kereta dipandu laju

Semasa kejadian berlaku kelihatan penumpang di bahagian depan cuba untuk keluar namun tidak berjaya.

Sebaik menyedari kereta dibawa lari, pemandu wanita dilihat berlari cuba untuk mendapatkan kenderaannya semula.

Kelihatan 2 pekerja stesen minyak cuba kejar kereta Honda City

Pada satu lagi rakaman CCTV, kelihatan pintu kereta di bahagian penumpang tidak sempat ditutup sewaktu ia memecut dengan laju.

Manakala dua lagi pekerja stesen dilihat segera mengambil motosikal untuk mengejar kereta terbabit.

Menurut Diana, sewaktu kejadian pemandu dan bapanya telah pergi ke tandas dan meninggalkan ibunya di dalam kereta berseorangan.

Sebaik melihat lelaki terbabit masuk ke dalam kereta wanita yang juga warga emas itu menjerit meminta tolong dan cuba untuk melompat keluar dari kereta.

Namun dia hanya sempat melemparkan beg tangan miliknya dan pemandu keluar dari tingkap.

Dakwa Diana perkara itu membuatkan lelaki terbabit berang sebelum bertindak menolak wanita itu keluar dari kereta.

“Sambil tolak mak cik saya jatuh dari kereta, mak cik saya dah 70 tahun tahu tak. Lelaki itu Melayu, ada geng lain juga. Tolong guys.

“Tambahan, dalam kereta ada banyak barang, telefon, kad bank, dan semua barangan lain sebab mereka baru balik dari kenduri dekat Kelantan dan mereka balik ikut Kuantan untuk hantar anak sedar masuk sekolah.

“Mereka tinggal sehelai sepinggang buat masa ni,” dakwa Diana.

Dakwa individu dah buang barangan peribadi dalam kereta ke merata tempat

Dalam satu lagi hantaran, Diana mendakwa lelaki yang membawa lari kereta berkenaan telah meletakkan barang yang berada dalam kenderaan itu di merata tempat seperti di Taman Cempaka dan Sungai Isap.

Mereka walau bagaimanapun, sudah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Melihat di ruangan komen, ada yang meminta untuk menggunakan aplikasi Honda Connect bagi mengesan kereta tersebut. Namun Diana menjelaskan model tersebut tidak mempunyai GPS yang dimaksudkan.

Ada juga yang bertanya adakah benar maklumat kereta tersebut telah dijumpai, Diana menjawab belum dan itu adalah kes lama.

“Ya Allah, semoga cepat-cepat dapat jumpa la keretanya”

“Hanya peringatan pada semua. Tolong cepat-cepat kunci kereta bila singgah sekejap beli barang atau pada sesiapa yang tinggal dalam kereta..”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.