Vandalisme: Bersatu Untuk Palestin Penting Namun Tidak Wajar Sakiti Sesama Kita, Kata McDonald’s Malaysia
Dalam pada itu BDS Malaysia turut mengutuk perbuatan vandalisme yang disifatkan sebagai tersasar, tidak cerdik dan satu jenayah yang perlu dibanteras.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar menzahirkan kebimbangan berhubung beberapa insiden yang telah memberi kesan kepada rangkaian makanan segera itu.
Menurut Azmir, tindakan vandalisme ke atas premis restoran McD antaranya papan tanda, semakin menjadi-jadi dan berleluasa sehingga mencetuskan tekanan dan keresahan kepada pekerja serta masyarakat sekeliling.
“Saya menghormati hak individu untuk menyuarakan pandangan, namun saya juga meminta orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang merosakkan harta benda.”
Tambah Azmir lagi, selain vandalisme, ada beberapa lagi tindakan agresif yang terpaksa dilalui para pekerja dan pelanggan yang amat membimbangkan.
“Kita semua adalah rakyat Malaysia, justeru, tingkah laku sebegini amat menyedihkan dan tidak positif. Keselamatan pekerja kami, yang juga rakyat Malaysia, adalah keutamaan yang terpenting untuk kami. Bersatu untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza adalah penting, tetapi ia tidak sewajarnya berlaku sehingga menyakiti sesama rakyat Malaysia.”
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar
Semua ada tanggungjawab untuk bantu saudara di Gaza
Tegas Azmir, sebagai seorang Muslim, tentunya beliau berasa pilu dan perit dengan apa yang berlaku di Gaza.
“Saya bersolidariti bersama saudara-saudara kita di Gaza dan sentiasa mendoakan keamanan dan kesejahteraan mereka. Kita semua mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu mereka dalam kemampuan tersendiri.
“Demikian itu, sebagai sebuah perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam di Malaysia, komitmen kami terhadap tujuan kemanusiaan tidak pernah berbelah bagi. Kami sentiasa menyuarakan sokongan kami untuk rakyat Palestin dan telah menderma RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.”
Bukan itu sahaja, pekerja McDonald’s Malaysia juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan dana lebih daripada RM100,000 untuk membantu mereka yang terjejas di Palestin.
“Kami berusaha dengan daya yang termampu, dan saya menggalakkan semua orang untuk turut melakukan yang sama.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan mereka dengan cara yang bertanggungjawab. Tindakan vandalisme dan keganasan tidak akan membawa apa-apa manfaat, malah lebih buruk padahnya. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memperjuangkan Palestin ini dengan daya upaya yang termampu dan bertanggungjawab.”
BDS kecam perbuatan vandalisme
Dalam pada itu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin, Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) turut mengutuk perbuatan vandalisme sebagai tersasar, tidak cerdik dan satu jenayah yang perlu dibanteras.
Kenyataan tersebut dikeluarkan BDS Malaysia merujuk kepada laporan media yang mana Polis Selangor telah merekodkan tujuh kes restoran makanan segera dicemari dengan grafiti berkaitan boikot yang dicetuskan oleh pembunuhan beramai-ramai penduduk awam Palestin di Gaza oleh Israel.
Menurut BDS Malaysia, emosi kuat yang disebabkan oleh pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza harus dizahirkan melalui tindakan kreatif dan sah sekali gus membantu menjayakan perjuangan membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Zionis.
“Pergerakan BDS adalah berasaskan prinsip keadilan dan hak asasi manusia. Objektif kami ialah menekan Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa melalui cara yang aman dan sah. Tindakan vandalisme akan menjejaskan gerakan boikot dan mengalihkan perhatian daripada usaha global yang sah dan berprinsip.
Sehubungan itu BDS Malaysia menggesa semua rakyat Malaysia untuk menggunakan hak perlembagaan untuk memboikot syarikat dan jenama yang disenaraikan dalam senarai boikot rasmi BDS dengan cara yang mematuhi undang-undang negara tanpa terlibat dalam tindakan yang merosakkan harta benda atau melibatkan ucapan yang kesat terhadap mana-mana pihak.
“Ini adalah selaras dengan dasar kami yang telah ditetapkan iaitu tanpa kekerasan dan melalui tindakan aman.
“Gerakan BDS adalah mempunyai tujuan yang adil dan mulia, iaitu menamatkan penjajahan Zionis di Palestin. Gerakan ini tidak memerlukan tindakan jenayah untuk mendapatkan sokongan di hati dan minda orang ramai.”
Sebagai rekod, sekitar April lalu, lima lelaki ditahan berhubung kes mengugut seorang pelanggan McDonald’s di Pahang yang sedang berada di restoran makanan segera bersama keluarganya.
Baca artikel berkaitan: Lima Lelaki Didakwa Ugut Pelanggan McDonald’s Ditahan