
“Faham Perasaan Tu” – Isteri Ajak Shiro Sedih Ada Murid Tanya KidZania Macam Mana, Ramai Cikgu Boleh Relate [Video]
Ajak Shiro turut memohon doa agar dikurniakan rezeki bagi merealisasikan hasratnya yang mahu membawa anak murid isterinya itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tugas seorang guru bukanlah mudah. Oleh sebab itu ada perumpamaan yang mengatakan ‘guru ibarat lilin membakar diri’ bagi menggambarkan betapa besarnya pengorbanan golongan pendidik itu.
Murid yang diajar pula lazimnya datang dengan pelbagai latar belakang berbeza. Ada murid yang mudah fokus dan faham apa yang diajar. Ada juga yang datang dari keluarga berada dan sebaliknya.
Sebagai guru yang baik, sudah semestinya layanan yang adil harus diberikan tanpa mengira perbezaan itu.
Namun, guru juga hanya manusia biasa yang kadang kala pasti tersentuh dengan perbuatan atau soalan yang diajukan oleh pelajar.
Isteri Sedih Lepas Ditanya Murid Tentang KidZania
Menerusi video yang dikongsikan oleh pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro di akaun Instagram miliknya, kelihatan isterinya Afifah Amin sedang menangis di sebelah suaminya itu.
Kesedihan itu berpunca daripada soalan yang diajukan oleh anak murid Afifah tentang taman permainan kanak-kanak, KidZania. Isteri pelawak itu sedih kerana tidak sampai hati menjawab soalan yang diajukan.
“Anak murid dia tanya, KidZania macam mana, dia tak sampai hati nak cerita.
“Tak pe, nanti kita bawa budak-budak tu pergi KidZania. Baguslah cikgu ni,” terang Ajak dalam video berkenaan.
Menerusi video itu juga, kedengaran Ajak dilihat memujuk isterinya yang kesedihan.
Malah melalui ruang kapsyen, Ajak turut memohon doa agar dikurniakan rezeki bagi merealisasikan hasratnya yang mahu membawa anak murid isterinya ke taman tema yang terkenal dengan permainan peranan (roleplay activities) itu.
Namun, pelawak itu sempat berseloroh meminta tips menghadapi situasi berkenaan daripada suami yang beristerikan seorang guru.
“Kau ingat senang ke jadi suami cikgu? Pada suami cikgu yang dah pencen, macam mana agaknya kamu ngadap situasi macam ni? Mohon kongsi petua senior.
“Insya-Allah Bu. Doakan rezeki Baba. Bila cukup nanti Baba bawak satu sekolah tu pergi sana eh,” tulis Ajak menerusi ruang kapsyen.
Hanya Golongan Pendidik Yang Faham
Perkongsian video itu nyata menarik perhatian warganet yang melihat. Rata-rata daripada mereka memuji dan terharu dengan sikap isteri Ajak yang dilihat ikhlas dalam menjadi seorang pendidik.
Namun, perkongsian itu lebih mencuri tumpuan para guru kerana mereka juga memahami situasi berkenaan lebih-lebih lagi melibatkan murid di kawasan pedalaman.
Ada cikgu yang turut berkongsi pengalaman yang sama berhadapan dengan situasi sedemikian.
Mereka mengakui sebagai seorang cikgu, pertanyaan murid khususnya berkenaan rasa makanan membuatkan mereka tersentuh hati dan kadang kala membuatkan mereka bertindak memenuhi permintaan pelajar mereka.
Ada juga dalam kalangan warganet yang memuji Ajak yang berniat mahu membawa anak murid isterinya ke taman permainan KidZania itu.
Berikut antara komen warganet:
“Semoga Dimurahkan Rezeki Cikgu, Anak Murid & Suami Dapat Kongsi Momen Di KidZania Satu Hari Nanti”

“Meruntun Jiwa, Lagi-Lagi Yang Ajar Pendidikan Khas Atau Sekolah Rendah, Dengan Muka Innocent Tanya”

“Betul, Student Tanya Apa Rasa Pavlova, Nampak Sedap. Auto Runtun Hati”

“Budak Tanya ‘Cikgu Pernah Makan Strawberi? Sedap Ke?’ Terus Keluar Pekan Beli Strawberi”

“Yang Duduk Dalam Kasut Kami Guru-Guru Akan Faham Perasaan Itu, Semoga Dimurahkan Rezeki Ajak & Afifah”

“Saya Faham Sangat Perasaan Ini, Faham Sangat Sebab Dah Banyak Kali Mengalami”

Baca Artikel Berkaitan: Ulang Alik 152 Km Setiap Hari, Isteri Ajak Shiro Hidap Masalah Tulang Belakang & Dimasukkan Ke Hospital
Baca Artikel Berkaitan: “Semoga Abah Gembira Ada Rumah Sendiri” – Ajak Shiro Bina Rumah Untuk Ayahnya [Video]