Salahkah Seorang Muslim Mempunyai Berat Badan Berlebihan?
Menurut Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), gemuk sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini mendapati kira-kira 11 juta golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan atau obes.
Laporan tersebut menunjukkan seramai 54.4% golongan dewasa mempunyai berat badan berlebihan dan jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3% berbanding tahun 2019 yang mencatat jumlah 50.4%.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana peningkatan berat badan boleh menyebabkan individu berisiko mengalami penyakit berbahaya antaranya seperti penyakit jantung dan kencing manis.
Selain itu, kenaikan berat badan juga boleh memberi kesan dalam aktiviti harian khususnya sewaktu melakukan ibadah.
Baca Artikel Berkaitan: 11 Juta Dewasa Di Malaysia Alami Masalah Berat Badan Berlebihan
Pengabaian Berat Badan Tidak Digalakkan Dalam Islam
Menurut Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle (Dr. Rora), gemuk sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam.
Ia sebagaimana dijelaskan dalam sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Hussain RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Generasi terbaik ialah generasi pada zamanku, kemudian zaman setelahnya, kemudian generasi setelahnya.
“Sesungguhnya pada masa yang akan datang, ada kaum yang khianat dan tidak boleh dipercaya, mereka bersaksi sebelum diminta kesaksiannya, bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan zahir pada tubuh mereka kegemukan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Jelas Muhamad Rozaimi, ia merupakan hadis sahih yang menunjukkan sifat gemuk tidak digalakkan dalam Islam kerana ia boleh mengundang sikap malas untuk beribadah kepada Allah SWT.
“Apatah lagi sifat gemuk ini kebiasaannya akan membawa kepada masalah kesihatan yang lain.
“Pendek kata, lebih banyak mudarat menjadi gemuk daripada manfaat. Justeru, berusahalah mengawal nafsu makan, sebaliknya banyakkan berzikir untuk hidup di bawah tekanan, berusaha tingkatkan iman agar hati lebih tenang, di samping banyak berpuasa, bersedekah dan memberi fakir miskin makan agar diri lebih qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada), tidak tamak, malas, rakus dan haloba.
“Maka, membiarkan diri gemuk adalah salah,” katanya.
GEMUK. Hadis di atas ada dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Di bawah adalah teks daripada Sahih al-Bukhari. Daripada…
Posted by Dr. Rozaimi Ramle on Friday 24 March 2017
Umat Islam Dituntut Jaga Kesihatan
Pendapat yang sama turut dikongsikan oleh Pensyarah di Fakulti Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Kamil Jamilin.
Menurut beliau, Islam menuntut umatnya sentiasa sihat dan kuat supaya kudrat itu dapat disumbangkan ke arah kekuatan Iman.
Namun, Islam menegah kegemukan yang disebabkan nikmat dunia serta menyebabkan diri berasa tidak cergas dan malas sehingga memudaratkan kesihatan diri.
Tercela Jika Gemuk Dengan Sengaja
Pun begitu, individu yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) berlebihan tidak dianggap tercela.
“Apa yang dimaksudkan ialah mereka yang sengaja mencari asbab menggemukkan diri dan gembira dengan obesiti yang dicapai.
“Dalam mafhum hadis riwayat al-Bukhariy dan Muslim, Nabi SAW pernah mengkhabarkan antara ciri-ciri manusia selepas kurun-kurun terawal yang mulia ialah banyaknya berlaku kegemukan.
“Bahkan dalam suatu athar yang dinisbahkan kepada Umar bin Al-Khattab RA tatkala terlihat seorang lelaki yang boroi, beliau menegurnya ‘Apa ini?’, lelaki itu menjawab ‘Ini berkat daripada ALLAH’, lalu Umar pun membalasnya ‘Bahkan ini azab!’,” terangnya.
Tambah beliau lagi, jika seseorang itu gemuk atau boroi disebabkan proses semulajadi di luar kawalannya sendiri seperti masalah kesihatan atau usia tua, ia tidaklah tercela.
“Bahkan Nabi Muhammad SAW tatkala dimamah usia, tubuhnya semakin berisi sehingga memberi kesan terhadap pergerakan solat Baginda SAW sebagaimana yang disebut oleh Aisyah RA dalam hadis riwayat Imam Muslim dan Um Qays (riwayat Imam Abu Daud).
“Justeru, kejarlah apa yang memberi manfaat pada diri kita baik untuk urusan dunia mahupun akhirat, pohonlah bantuan ALLAH dan janganlah melemahkan diri kita sendiri dengan pemikiran negatif.
“Paling penting, saiz badan kita tidak memperlahankan kita daripada mencapai kekuatan atau kecergasan yang dimaksudkan dalam hadis di atas kerana kekuatan iman dan fizikal perlulah seiring,” ujarnya.
SALAHKAH KITA GEMUK? 1. Sememangnya Islam menuntut umatnya sentiasa sihat dan kuat supaya kudrat tersebut dapat…
Posted by Dr. Kamilin Jamilin on Thursday 9 March 2017
Allah Benci Orang Gemuk Jika Disebabkan Kelalaian – Dr Zulkifli
Dalam pada itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman web Maktabah Albakri turut menjelaskan gemuk yang dimaksudkan dalam hadis atau perkataan ulama bukanlah gemuk yang semula jadi dan asal daripada ciptaan Allah SWT.
“Sebaliknya, ia adalah gemuk yang disebabkan oleh kelalaian, keterlampauan dalam makanan dan minuman serta budaya yang membawa kepada gemuk, selain lanjutan kepada kemalasan dan sifat yang negatif,” katanya.
Mengukuhkan kenyataan ini, beliau turut mengemukakan pandangan dari Mulla Ali Al-Qari dalam Jam’u al-Wasail fi Syarhj al-Syamail menyatakan “Riwayat yang menunjukkan bahawa ALLAH membenci orang gemuk, difahami jika gemuk ini terjadi disebabkan kelalaian, terlalu banyak menikmati kenikmatan lahiriah sebagaimana yang ditunjukkan dalam riwayat tentang kebencian bagi orang gemuk.”
Baca Artikel Berkaitan: 11 Juta Dewasa Di Malaysia Alami Masalah Berat Badan Berlebihan
Baca Artikel Berkaitan: Separuh Golongan Dewasa Di Malaysia Hadapi Masalah Obesiti – KJ