fbpx
Now Reading
“Namun, Ungkapan ‘First Love’ Kurang Sesuai” – Majlis Akademik Islami Jelas Ustaz Don Tidak Langgar Syarat Tauliah

“Namun, Ungkapan ‘First Love’ Kurang Sesuai” – Majlis Akademik Islami Jelas Ustaz Don Tidak Langgar Syarat Tauliah

Majlis Akademik Islami turut menasihatkan agar para pendakwah berhati-hati dalam berkata-kata dan memilih istilah yang bersesuaian agar kenyataan yang dikeluarkan tidak disalah erti.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada minggu lalu, kecoh di media mengenai pendakwah dan penceramah bebas terkenal Ustaz Don Daniyal Don Bijayid atau Ustaz Don yang direhatkan daripada program Salam Baitullah yang bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Semuanya kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau dalam satu siaran program berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Penceramah itu mendakwa baginda pernah melamar seorang wanita yang dikenali sebagai Ummu Hani sebanyak tiga kali dan merupakan cinta pertama Rasulullah.

Kenyataan itu menimbulkan kekecohan dan pertikaian di platform media sosial kerana perkongsiannya itu diragui oleh sesetengah pihak dan menganggapnya palsu hingga menyebabkan dia direhat daripada program tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Ustaz Don ‘Direhatkan’ Daripada Program Salam Baitullah Di RTM – Suhaimi Sulaiman

Ustaz Don Tidak Langgar Perkara Bertentangan

Terbaharu, Majlis Akdemik Islami menjelaskan Ustaz Don tidak melanggar perkara yang bertentangan dengan syarat tauliah antaranya seperti melanggar prinsip utama Ahli Sunnah wal Jamaah, memberi pandangan yang bertentangan dengan fatwa setempat serta menyentuh isu sensitif seperti 3R.

Tegas majlis, Ustaz Don masih lagi memegang tauliah di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor dan lain-lain.

Menurut majlis itu menerusi satu kenyataan di akaun Facebook rasmi milik mereka, tindakan Ustaz Don yang meriwayatkan hadis lemah adalah tidak menjadi satu kesalahan.

Ini kerana penceramah itu hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukan beliau.

“Kisah mengenai pinangan Nabi Muhammad S.A.W kepada Ummu Hani’ R.A yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Al-Sa`ib disebut dalam beberapa kitab-kitab sejarah seperti al-Tobaqat al-Kubra oleh Muhammad bin Sa’ad (Ibn Sa’ad, Jilid 8, Ms.,120, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyah), Tarikh al-Tabari oleh al-Imam Abu Jaafaral-Tabari (1967, Jilid 11, Ms. 619, Kaherah: Dar al-Ma`arif), Tarikh Madinah Dimasyq (Ibnu Asakir, Ali bin Hasan, 1995, Jilid 3, Ms.243, Beirut: Dar al-Fikr), al-Isobah olehal-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani (jld. 8, ms. 317), dan juga Subul al-Huda wa al-Rashadfi Sirah Khair al-‘Ibad oleh Muhammad bin Soleh al-Solihi (1993, Jilid 11, Ms. 236,Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah).

“Para ulama juga berpendapat harus mengambil pendapat yang lemah selagimana ia bukan berkaitan dengan perkara hukum dan akidah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Jilid5, Ms. 59, Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyah) juga Imam al-Baihaqi dalam Shuʼab al-Imam (Ahmad bin Husain al-Baihaqi, 2000, Jilid. 2, Ms, 372, Beirut: Daral-Kutub al-‘Ilmiyah) juga ramai lagi seperti Ibnu ‘Abd al-Barr dalam Madkhalal-Dalail, Imam al-Baqa’iy dalam al-Nukat al-Wafiyyah dan lainnya.

“Periwayatan kisah dan sirah Nabi dari sumber yang diragui atau lemah bukanlah satu perkara baharu dan menjadi satu isu perlu diperbesarkan. Hal ini telah termaktub dalam diskusi, kitab serta artikel-artikel ilmiah yang boleh diakses dengan mudah seperti artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) : https://www.muftiwp.gov.my/…/5422-bayan-linnas-siri-ke…

“Bahkan Syaikh Dr. Saeed al-Kamali dari Maghribi menegaskan bahawa periwayatan sirah Nabi S.A.W tidaklah seketat hadis dari kitab-kitab Sunan kerana ia lebih kepada motivasi, gambaran sejarah dan tidak digunakan untuk penetapan hukum hakam halal dan haram.

“Oleh itu tidak menjadi kesalahan untuk meriwayatkan hadis yang lemah sekalipun dalam konteks sirah ini, lebih-lebih lagi Ustaz Don Daniyal hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukan beliau,” jelas majlis itu menerusi kenyataan tersebut.

Ungkapan ‘First Love’ Kurang Sesuai

Namun majlis itu berpendapat, ungkapan ‘first love’ yang digunakan oleh penceramah berkenaan dilihat kurang sesuai digunakan hingga memberi rasa yang tidak senang kepada sesiapa yang mendengar.

“Melihat kepada masa peminangan pertama itu berlaku, tidak terlampau jauh, sekiranya dianggapkan itu adalah wanita pertama yang menarik hati Rasulullah S.A.W untuk diambil menjadi isteri.

“Namun ungkapan ‘first love’ yang disebut oleh beliau dirasakan kurang sesuai, lantas memberi gambaran tidak enak atau tidak menyenangkan kepada mereka yang mendengarnya,” kata majlis berkenaan.

Mohon Pendakwah Berhati-Hati Dalam Tutur Kata

Pada masa yang sama, majlis turut menasihatkan agar para pendakwah berhati-hati dalam berkata-kata dan memilih istilah yang bersesuaian agar kenyataan yang dikeluarkan tidak disalah erti.

“Para asatizah dan pendakwah perlu bersikap lebih berhati-hati dalam tutur kata serta memilih istilah yang tepat dan sesuai, supaya apa yang dilafaz tidak mudah disalahertikan oleh orang yang mendengar.

“Pun begitu, jika ianya sekadar ketidaktepatan pemilihan perkataan yang tidak membawa kepada kerosakan iman, maka tidak perlu sehingga membawa kepada cercaan, cacian, makian, hinaan serta tuduhan-tuduhan liar seperti penglipur lara dan sebagainya.

“Apatah lagi sehingga digam dari meneruskan khidmat menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat.

Mohon Masyarakat Tidak Buat Spekulasi

Majlis itu turut meminta kepada masyarakat untuk tidak mengulas mengenai perkara tersebut hingga menimbulkan spekulasi.

“Masyarakat awam dinasihatkan tidak mudah untuk mengulas dan membawa pelbagai spekulasi mengenai perkara ini sehingga menimbulkan kritikan yang tidak ilmiah serta dilihat kurang beradab di dalam perkara-perkara keilmuan seperti ini,” katanya lagi.

Malah, mereka turut berpendapat agar pihak terlibat berbincang mengenai perkara tersebut dengan cara yang lebih berhemah melalui penglibatan para agamawan dan pihak berwajib.

“Tanpa menafikan andaian wujudnya kesilapan isu cabang ‘ijtihadi’ dalam penyampaian kalangan pendakwah agamawan, ianya amat tidak wajar dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh kalangan mereka yang berkepentingan untuk melakukan ‘character assassination’ (pembunuhan watak) dan melumpuhkan karier dakwah pendakwah agamawan tertentu.

“Isu ini sewajarnya ditangani melalui mekanisme konstruktif secara lebih berhemah dalam kalangan agamawan dan pihak berautoriti agama, bukan melalui platform media sosial yang mendedahkan kritikan terbuka oleh masyarakat awam sehingga ke tahap mencaci tanpa adab yang dilihat selari dengan agenda pasca modenisme,” tulis mereka lagi.

Ekoran isu ini, mereka juga turut berpendapat mana-mana pihak yang terlibat tidak seharusnya tunduk kepada desakan netizen khususnya yang menggunakan akaun palsu dan menjadikan sesuatu isu sebagai kontroversi

“Mana-mana pihak tidak sepatutnya tunduk pada desakan netizen lebih-lebih lagi yang menggunakan akaun palsu bagi menjadikannya satu isu yang kontroversi, termasuk juga desakan dari mana-mana pihak yang bukan autoriti agama dengan kepentingan tertentu,” ujarnya.

KENYATAAN RASMI MAJLIS AKADEMIK ISLAMI BERKAITAN KISAH PINANGAN RASULULLAH S.A.W DAN ISU USTAZ DON DANIYAL 1. Kisah…

Posted by Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia – ISLAMI on Sunday 9 June 2024

Baca Artikel Berkaitan: Ustaz Don ‘Direhatkan’ Daripada Program Salam Baitullah Di RTM – Suhaimi Sulaiman

Baca Artikel Berkaitan: Tular Isu Kisah Nabi, JAKIM Akan Dapatkan Penjelasan Ustaz Don

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.