fbpx
Now Reading
Tular Dakwaan Pemuda Ditangkap Atas Alasan ‘Mencurigakan’, Ini Penjelasan AADK

Tular Dakwaan Pemuda Ditangkap Atas Alasan ‘Mencurigakan’, Ini Penjelasan AADK

Menurut AADK menerusi satu kenyataan, pegawai dari AADK yang terlibat dalam operasi tersebut telah mengikut SOP penahanan yang betul iaitu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (11 Jun), hangat di media sosial berhubung hantaran seorang wanita mengenai kehilangan adiknya ketika pemuda itu pulang dari tempat kerja.

Namun tidak sampai 24 jam hantaran dibuat, wanita yang dikenali sebagai Syaida Ilmuna itu memaklumkan bahawa adiknya selamat dijumpai.

Apa yang menjadi perhatian adalah Syaida mendakwa adiknya bukanlah hilang namun ditahan oleh dua orang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Malah, dia turut meluahkan rasa kesal apabila adiknya ditahan atas alasan ‘nampak mencurigakan’ serta penahanan pemuda itu yang disifatkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti tidak dimaklumkan kepada keluarga.

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kesal, Adik Lelaki Hilang Rupanya Kena Tahan AADK Atas Alasan ‘Mencurigakan’

AADK Jelas Penahanan Ikut SOP Yang Betul

Terbaharu, AADK menerusi Unit Media dan Komunikasi Korporat berkata, pegawai dari AADK Cheras yang terlibat dalam insiden tersebut telah mengikut SOP penahanan yang betul iaitu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa.

“Pada 11 Jun 2024 jam lebih kurang 6 petang, satu Op Pengesanan Perdana dilaksanakan AADK Daerah Cheras atas maklumat penagihan dan aktiviti penagihan penyalahgunaan dadah di Jalan Jejaka 4, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

“Dalam tindakan pengesanan Orang Yang Disyaki (OYDS) di kawasan itu, AADK Daerah Cheras telah menahan seorang individu yang diklasifikasikan sebagai OYDS dengan SOP yang betul iaitu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa AADK.

“Pun begitu, ketika penahanan OYDS itu dilakukan, terdapat seseorang yang berada di lokasi yang sama dalam keadaaan yang mencurigakan dan apabila pegawai AADK cuba mendekati individu tersebut dan memperkenalkan diri sebagai pegawai AADK, dia bagaimanapun bertindak melarikan diri.

“Tindakan itu menimbulkan kecurigaan yang munasabah sehingga membawa kepada penangkapan individu berkenaan,” jelasnya melalui kenyataan itu.

Sekali Lagi Pamerkan Kad Kuasa Selepas OYDS Ditahan

Malah, ketika kedua-dua individu itu ditahan, pegawai AADK sekali lagi mempamerkan kad kuasa.

Namun, ketika pegawai terbabit membuat semakan melalui MyAADK, salah seorang tahanan tersebut bertindak menolak pegawai berkenaan dan cuba melarikan diri buat kali kedua.

Tindakan itu kemudiannya membawa kepada penahanannya dan dibawa ke AADK Cheras bagi menjalani ujian tertentu untuk tujuan mengenal pasti sama ada penagih atau tidak.

“Tindakan itu membawa kepada penahanannya dan di bawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk tindakan dokumentasi dan ujian-ujian tertentu bagi mengenalpasti sama ada penagih ataupun tidak,” kata AADK lagi.

Akui Urusan Dokumentasi Agak Lama, Penahanan Kurang 24 Jam

Walau bagaimanapun, pihak AADK mengakui urusan dokumentasi mengambil masa yang agak lama ekoran jumlah tangkapan yang terlalu ramai.

Selepas urusan dokumentasi dan keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripadanya negatif, individu itu dibebaskan.

“AADK mengakui tindakan dokumentasi telah mengambil masa tertentu disebabkan jumlah bilangan tangkapan dibuat pada kadar yang ramai, namun proses penahanan individu tersebut adalah tidak melebih tempoh 24 jam dan masih mematuhi SOP yang ditetapkan dalam APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983.”

Pada masa yang sama, AADK turut memberi jaminan pihaknya akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas.

“AADK mengambil serius berkenaan tatakelola pegawai dan akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas,” jelas mereka melalui kenyataan sama.

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kesal, Adik Lelaki Hilang Rupanya Kena Tahan AADK Atas Alasan ‘Mencurigakan’

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.