Bapa Sanggup Jalan Kaki Dari Beranang Ke Kajang Demi Ambil Makanan Percuma Buat 3 Anak
Menurut pihak Nasi Kukus Kak Chiq, bapa kepada tiga orang anak itu berjalan kaki dari Beranang ke kedainya bermula jam 7 pagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap yang bergelar bapa pastinya mahu menyediakan kehidupan yang selesa buat anak-anaknya.
Malah mereka juga sanggup berkorban apa sahaja buat anak yang disayangi asalkan keperluan seperti makanan dapat disediakan.
Bapa sanggup berjalan jauh demi dapatkan makanan untuk tiga orang anak
Baru-baru ini, tular satu kisah mengenai seorang bapa yang sanggup berjalan jauh demi mendapatkan makanan buat tiga orang anaknya.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Nasi Kukus Kak Chiq di Facebook, seorang bapa yang memakai baju berwarna biru telah berjalan kaki dari Beranang ke Kajang, Selangor untuk mengambil lebihan makanan di kedai berkenaan.
Jalan kaki dari jam 7 pagi dari Beranang
Lelaki itu bertanya menerusi hantaran WhatsApp sekiranya boleh untuk memberikan sedekah makanan kepada tiga anak-anaknya.
“Semalam (11 Jun) abang ni ada WhatsApp bertanya jika ada lebihan lauk Nasi Kukus Kak Chiq boleh ke sedekah untuk anak-anak beliau (3 orang). Tapi semalam jam 4 petang kami dah tutup.
“Kami cakap, kalau nak datang hari ini (12 Jun). Maka dia datang pagi ni dari Beranang ke Taman Jasmin, Kajang. Bertolak awal dari jam 7 pagi,” jelasnya.
Awalnya pihak kedai berkenaan sedikit pelik mengapa lelaki berkenaan ingin datang begitu awal kerana tidak tahu dia sebenarnya berjalan kaki dari Beranang.
Basah lencun dengan peluh ketika sampai kedai makan
Malah sampai sahaja di kedai tersebut, kelihatan bajunya basah lencun dengan peluh dek kerana berjalan kaki.
Katanya, bapa kepada tiga anak itu hilang punca pendapatan kerana motor yang rosak dan hanya akan dapat bekerja semula pada minggu hadapan selepas motosikal siap dibaiki.
“Tapi dalam menunggu dia tiada duit untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri dan anak-anak.
“Jadi kami ada bagi sedikit barang keperluan sementara motor siap dan masuk kerja baru.”
Ketika lelaki tersebut ingin pulang mereka telah memesan perkhidmatan Grab kerana tidak sanggup untuk membiarkannya pulang dalam keadaan berjalan kaki.
Menerusi gambar yang dikongsikan kelihatan pihak kedai makanan itu turut membelikan lampin pakai buang serta beras buat keluarga lelaki berkenaan.
Ramai turut luah rasa simpati
Melihat di ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan nasib menimpa lelaki berkenaan. Malah ada juga yang ingin menghulurkan bantuan kepadanya.
Tidak kurang juga, ramai yang mendoakan agar urusan lelaki berkenaan dipermudahkan dan sentiasa dimurahkan rezeki.