fbpx
Now Reading
Ada Cubaan Buang Hadis Daif – Ustaz Azhar Idrus [Video]

Ada Cubaan Buang Hadis Daif – Ustaz Azhar Idrus [Video]

Tegas UAI lagi, antara ulama yang turut mengamal dan menyebar hadis daif adalah Imam Bukhari, salah seorang imam yang paling diyakini dalam perkara melibatkan hadis.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan wujudnya cubaan untuk membuang dan menolak sepenuhnya hadis daif.

Menurut Azhar Idrus atau turut dikenali dengan panggilan UAI, cubaan tersebut dilakukan oleh pihak bukan ulama walhal ianya telah diguna pakai oleh golongan ulama sejak sekian lama.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata terdapat tiga jenis hadis yang boleh diamalkan iaitu:

  • Hadis sahih
  • Hadis hasan
  • Hadis daif

Berbanding tiga hadis berkenaan, hasil palsu adalah hadis yang tidak boleh diamalkan oleh orang Islam.

“Hadis sahih, hadis hasan, hadis daif, tiga (jenis) hadis ini amallah, yang tidak boleh adalah hadis keempat iaitu hadis palsu. Sebab itu ulama-ulama besar dunia mereka sebar dan amalkan juga hadis daif ini.”

“Kita sahaja yang tidak amalkan hadis daif kerana terpengengaruh dengar dengan apa yang dikatakan oleh orang yang tidak bertakwa,” kata UAI dalam satu video ceramah bertajuk “Kenapa Ulama Pun Guna Hadis Daif” yang dimuat naik di akaun YouTube rasmi beliau pada April lalu.

Perkara itu dijelaskan beliau selepas diajukan soalan mengapa ulama pun menggunakan hadis daif.

Menerusi maklumat pada video, rakaman tersebut dilakukan pada satu majlis kuliah dan soal jawab agama di Masjid Pasir Minal, Kemaman, Terengganu pada 12 Januari lalu.

Imam Bukhari juga guna hadis daif – UAI

Tegas UAI lagi, antara ulama yang turut mengamal dan menyebar hadis daif adalah Imam Bukhari, salah seorang imam yang paling diyakini dalam perkara melibatkan hadis.

“Banyak imam seperti Imam Ahmad, Imam Tirmizi, Imam Abu Daud dan lain-lain termasuk seorang imam yang memang terkenal dengan hadis sahihnya iaitu Imam Bukhari yang turut mengarang hadis daif.

“Imam Bukhari juga menulis kitab hadis al-Adabu al-Mufrad.

“(Beliau) ada kitab Sahih Bukhari yang semuanya sahih, (manakala) al-Adabu al-Mufradsatu menghimpunkan tiga hadis iaitu hadis sahih, hadis hasan dan hadis daif. Maknanya beliau juga sebarkan, nak kita guna hadis daif dalam kehidupan.

“Beliau yang merupakan ulama dan imam besar pun guna, kita yang tidak tahu apa-apa ini nak tolak, kamu siapa?” katanya lagi.

Hadis daif hanya tidak boleh diguna untuk hukum

Beliau menerusi satu video sebelum ini ada menjelaskan bahawa hadis daif boleh digunakan untuk fadhail al-‘Amal, yakni perkara sunat seperti solat, serban, sunat ketika solat dan lain-lain.

Namun ia tidak boleh digunakan sebagai hujah di dalam hukum antaranya hudud, qisas dan penceraian kerana memerlukan hadis sahih dan hasan.

Perkara itu dikongsikan selepas timbulnya soalan sama ada Kitab Fadhail A’mal boleh digunakan oleh orang Islam.

Memetik laman pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menggunakan kaedah tarjih (pemillihan), selepas meneliti pendapat-pendapat para ulama’ dalam menjadikan hadis daif sebagai hujah dan boleh diamalkan di dalam fadhail al-A’mal, mereka cenderung terhadap keharusan beramal dengan hadis daif tetapi perlu mengikut syarat-syarat atau dhawabit (panduan-panduan) seperti yang dinyatakan oleh jumhur ulama.

Ia juga merupakan pendapat imam al-Nawawi RA dan Mula ‘Ali al-Qari.

Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Tidak terlalu daif.
  • Terdapat asal bagi amalan tersebut.
  • Tidak beri’tiqad ketika beramal dengannya bahawa Nabi SAW melakukannya.
  • Beramal dalam perkara-perkara yang melibatkan fadhail al-A’mal sahaja.

Hadis daif bukan hadis palsu

Malah pejabat Mufti WP juga sebelum ini pernah menekankan bahawa hadis daif adalah tidak sama dengan hadis palsu.

“Hadis daif dan hadis palsu tidak dapat disamakan kerana perbezaannya adalah jelas, di mana hadis daif mempunyai pembahagiannya yang pelbagai dan perlu diperhalusi sebelum ia diterima untuk beramal atau ditolak.

“Manakala hadis palsu pula adalah sesuatu yang direka-reka tetapi disandarkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW tanpa rasa tanggungjawab dan amanah.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.