
Lelaki Sayu Bapa Mentua Meninggal Dunia Dalam Kenderaan, Ketika Pulang Ke Rumah [Video]
Menerusi video live yang dibuat di Facebook, lelaki berkenaan meminta orang ramai yang menonton video berkenaan untuk menghantarkan van jenazah buat arwah bapa mentuanya ke tempat kejadian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kehilangan insan yang tersayang secara tiba-tiba merupakan perkara yang sememangnya menyedihkan.
Malah lebih memilukan apabila terdapat kesukaran dari segi mendapatkan bantuan untuk menguruskan jenazah.
Bapa mentua meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah anak menantu
Itulah perkara yang dihadapi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Ariff Ahmad apabila bapa mentuanya meninggal dunia ketika mereka dalam perjalanan ke Bongawan, Kota Kinabalu dari Sandakan, semalam (23 Jun).
Malah apa yang lebih meruntun hati di saat menghadapi kesedihan pemergian bapa mentua, van yang dipandu pula mengalami kerosakan sehingga menyebabkan dia dan jenazah arwah bapa tersadai di tepi jalan di antara Kundasang dan Tamparuli, lapor Berita Harian.
Buat live di Facebook untuk minta bantuan van jenazah
Ariff juga dimaklumkan terpaksa menunggu sekitar 40 minit untuk menunggu bantuan selepas dia membuat live di Facebook pada pagi, semalam (23 Jun).
Menerusi video tersebut, Mohd Ariff telah membuat live untuk meminta bantuan kepada orang ramai untuk menghantarkan van jenazah selain memaklumkan van yang dipandu mengalami kerosakan.
Dia juga memaklumkan mereka kini berada berhampiran simpang Jalan Bypass Ranau-Kota Belud. Tidak lama kemudian turut kedengaran dia telah menerima satu panggilan telefon yang dipercayai untuk bantuan ambulans.
Dakwa petugas ambulans hanya sahkan kematian arwah bapa mentua
Dalam satu lagi hantaran, Mohd Ariff mendakwa pihak ambulans yang datang hanya mengesahkan kematian bapa mentuanya sahaja.
“Saya sebagai menantu ingin menjelaskan bahawa pihak hospital (ambulans) yang telah sampai di tempat kejadian hanya mengesahkan kematian bapa mentua saya sahaja dan tidak membawa jenazahnya ke hospital terlebih dahulu.
“Sementara itu pihak terbabit memberitahu agar mengatur sendiri van jenazah sebelum beredar dari tempat kejadian,” dakwanya.
Menurutnya lagi, dia kemudian menghubungi rakannya untuk mendapatkan van jenazah berdekatan dengan tempat kejadian.
Selepas 2 jam lebih menunggu akhirnya sebuah kereta jenazah dari kampung Ketiau, Putatan datang untuk membawa jenazah pulang ke Bongawan untuk diuruskan dan dikebumikan.
Dalam beberapa hantaran lain, Mohd Ariff turut menunjukan beberapa gambar ketika kereta jenazah datang untuk menguruskan arwah bapa mentuanya dan berterima kasih atas bantuan diberikan.