Ramai Puji Cara Aeril Zafrel Terima Permohonan Maaf Lelaki Ceroboh Rumahnya [Video]
Malah, Aeril Zafrel menganggap insiden rumahnya diceroboh ada hikmah sehingga dia menjumpai barang sihir.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, halaman rumah pasangan selebriti terkenal, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal telah diceroboh masuk oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Aeril semalam (23 Jun) menerusi akaun Instagram miliknya yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki telah memanjat tembok di rumahnya.
Aeril turut mendakwa lelaki berkenaan juga telah meletakkan sesuatu dipercayai barangan sihir di dalam kawasan rumahnya itu.
Ibu bawa anak Istimewa ke rumah Aeril untuk buat permohonan maaf
Bagaimanapun, tidak lama selepas hantaran itu dimuat naik, lelaki terbabit telah tampil ke rumah pasangan selebriti yang juga usahawan kosmetik itu untuk membuat permohonan maaf.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Aeril di Instagram, dia berkata lelaki yang juga ‘orang istimewa’ itu telah dibawa oleh ibunya sendiri untuk bertemunya.
“Semalam saya ada muat naik hantaran berkenaan budak lelaki panjat rumah saya dan letak barang sihir, dan petang itu juga ibunya bawa anak istimewa ini datang berjumpa saya untuk meminta maaf,” katanya.
Tak letak barang sihir, panjat tembok rumah sebab minat Aeril
Menurutnya, lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengakui bahawa barangan yang dipercayai untuk kegunaan sihir itu diletakkan olehnya dan motif dia memanjat tembok kediamaan pelakon berkenaan adalah kerana meminatinya sahaja.
Tidak ingin memanjangkan cerita, Aeril menganggap apa yang terjadi kepada dirinya itu mempunyai hikmah dan telah memadam hantaran yang dimuat naik sebelum ini berhubung insiden terbabit.
“Kalau budak ini tak panjat rumah saya, saya tak akan periksa kawasan rumah itu dan tak akan jumpa barang sihir itu.
“Apa-apa pun semoga kejadian ini menjadi iktibar untuk saya, ibu bapa budak ini dan untuk semua,” katanya lagi.
Dalam video yang dikongsikan pelakon filem Buas itu, kelihatan dia begitu tenang menerima permohonaan maaf lelaki berkenaan selain berpesan agar tidak mengulangi perbuatannya itu.
Ramai puji cara Aeril layani lelaki terbabit meminta maaf
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji cara Aeril menerima permohonan maaf lelaki terbabit.
Malah mereka turut menyifatkan perbuatan yang berlaku itu merupakan satu hikmah untuk Aeril menemui barangan sihir terbabit.