Hampir Separuh Pemilik EV Di AS Ingin Bertukar Semula Ke Kereta Petrol & Diesel – Kajian
Bukan hanya rakyat AS sahaja yang ingin beralih kepada kenderaan petrol, di Australia, 49% pemilik EV juga sedang mempertimbangkan perkara sama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan, kenderaan elektrik (EV) sedang berkembang pesat di Malaysia dan semakin mendapat tempat di hati ramai.
Di Malaysia, boleh dikatakan kekerapan untuk melihat EV seperti Tesla atau BYD di jalan raya semakin tinggi.
Kebanyakan orang berpendapat bahawa EV lebih mesra alam untuk digunakan berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) seperti petrol dan diesel.
Hampir separuh pengguna EV di AS ingin kembali ke kenderaan ICE atas beberapa faktor
Pun begitu, satu kajian yang dijalankan mendedahkan bahawa 46% pemilik EV di Amerika Syarikat (AS) kini ingin beralih kepada kenderaan ICE.
Menurut Careta yang memetik motor1, kajian McKinsey & Co.’s 2024 para pengguna di seluruh dunia juga mendapati sebanyak 29% pemilik EV ingin bertukar semula kepada kenderaan jenis petrol atau diesel itu.
Difahamkan, antara sebab utama mereka beralih ke kenderaan ICE adalah kerana infrastruktur pengecasan EV (charging station) yang tidak mencukupi.
Rangkaian awam masih belum cukup baik dan kos pemilikan EV kekal terlalu tinggi
Sebanyak 35% responden global berkata, rangkaian awam bagi EV masih belum cukup baik, sementara 34% pula berkata kos pemilikan kenderaan itu kekal terlalu tinggi.
Selain itu, sebanyak 32% responden juga menyatakan EV terlalu banyak memberi kesan kepada corak pemanduan mereka terutama ketika perjalanan jauh.
Charging station di AS dilihat semakin berkembang apabila sehingga Mei tahun ini, negara terbabit sudah mempunyai 183,000 pengecas EV awam, namun jumlah tersebut masih dikira tidak mencukupi.
Antara alasan lain diberikan pemilik EV untuk tukar semula ke kenderaan ICE
Sementara itu, alasan lain yang diberikan oleh pemilik EV untuk bertukar ke kenderaan ICE adalah kerana ketidakupayaan untuk mengecas di rumah (24%), bimbang tentang pengecasan (21%) dan keperluan mengecas mobility (16%).
Hanya 13% responden berkata mereka tidak menikmati pengalaman memandu dan hanya sesetengah orang menyatakan mereka lebih gemar memandu kereta ICE, seperti 18% responden AS dan 28% di Jerman.
Bagaimanapun, bukan rakyat AS sahaja yang ingin beralih kepada kenderaan petrol ini, di Australia, 49% pemilik EV juga sedang mempertimbangkan perkara sama.
Manakala, 28% rakyat daripada negara pengeluar EV terbanyak di dunia, China, mahu bertukar kepada kenderaan ICE.
AS dah nak berhenti guna EV, tapi Asia Tenggara semakin meningkat penggunaan EV
Hasil kajian yang dijalankan ini jelas bertentangan dengan apa yang sedang berlaku di Asia Tenggara apabila pengguna EV di rantau ini baru sahaja ingin meningkat, namun pengguna di Eropah pula ingin beralih semula kenderaan biasa.
Bahkan, pembuat EV China kini lebih memperluaskan pasarannya di Asia Tenggara selepas negara-negara Barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat mengenakan tarif yang tinggi ke atas mereka.
Maka tidak hairanlah sekiranya di Malaysia boleh dilihat kereta EV buatan China semakin banyak dilancarkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.