Pemandu e-Hailing Beragama Islam Tidak Boleh Hantar Penumpang Ke Tempat Maksiat -Dr Zulkifli Al Bakri
Namun, bekas Mufti WP itu menjelaskan ia dibolehkan bergantung kepada situasi pemandu terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada masa kini, kebanyakan individu memilih untuk melakukan lebih dari satu kerja bagi menampung perbelanjaan seharian.
Bagi kebanyakan individu, pekerjaan sebagai pemandu e-hailing sering menjadi pilihan kerana waktu kerja yang fleksibel.
Namun sebagai orang Islam, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira ketika menjalankan tugas menghantar penumpang ke destinasi yang dituju.
Tidak Boleh Hantar Penumpang Ke Tempat Maksiat
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, seorang muslim yang bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak boleh menghantar penumpang ke tempat maksiat seperti kelab malam atau pusat hiburan yang ada pergaulan bebas, minuman keras, pendedahan aurat dan lain-lain yang berkaitan.
Pihaknya berpendapat ia termasuk dalam perbuatan membantu orang ke arah maksiat dan dosa kepada Allah SWT.
“Justeru, jika dapat menolak dengan baik tanpa menjejaskan pekerjaannya itu, maka dia hendaklah melakukannya.
“Begitu juga jika perkara tersebut berterusan, maka pada masa sama dia hendaklah berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredai oleh Allah SWT,” katanya.
Ia Dibenarkan Bergantung Kepada Keadaan
Walau bagaimanapun, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menjelaskan ia dibolehkan bergantung kepada situasi pemandu terbabit terutama sekiranya pemandu itu jarang menghantar penumpang ke tempat sedemikian atau boleh menjejaskan pekerjaan sekiranya tempahan tersebut ditolak.
“Sekiranya asas pekerjaannya itu adalah baik yang mana dia sepatutnya hanya membawa penumpang ke destinasi diinginkan atau dituju, dan hanya kadang-kadang sahaja dalam situasi tertentu (dan jarang berlaku) dia terpaksa membawa penumpang ke tempat tertentu yang berkait maksiat dan dosa, kerana dikhuatiri jika kerap menolak untuk membawa penumpang atau seumpamanya, maka dia boleh dibuang daripada pekerjaan tersebut atau menjejaskan pekerjaannya.
“Jadi, ketika dalam situasi tersebut, apatah lagi dalam keadaan yang amat sukar memperoleh pekerjaan untuk menampung hidupnya, maka tidak mengapa dan semoga Allah SWT mengampuni ‘ketergelincirannya’ itu.
“Akan tetapi dia hendaklah mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang haram tersebut (iaitu membawa penumpang ke kelab malam), lalu disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam,” katanya.
Beliau menjawab persoalan itu menerusi aplikasi Al Inarah ketika diajukan soalan berhubung hukum memandu e-hailing dan mendapat tempahan bagi menghantar pelanggan ke pusat hiburan atau kelab malam.
Al Inarah Himpun Persoalan Tentang Agama
Sekadar info, aplikasi Al Inarah merupakan aplikasi yang dikendalikan oleh Dr Zulkifli dan penyelidik Maktabah Al Bakri.
Ia merupakan sebuah aplikasi yang menghimpunkan soal jawab berkaitan kemusykilan agama dan lebih 5,000 artikel tentang kemusykilan di bawah 75 kategori yang berbeza antaranya seperti Al-Quran, Akidah, Fiqh, Hadis dan Sirah.
Malah, artikel berkaitan turut dikemaskini dari semasa ke semasa. Selain itu, ia juga turut menawarkan pelbagai e-buku percuma yang melibatkan agama dalam kehidupan seharian.
Anda boleh muat turun aplikasi tersebut secara percuma melalui pautan seperti berikut:
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Kerja Di Syarikat Berkait Israel? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang
Baca Artikel Berkaitan: Tidak Salah Jika Isteri Pilih Untuk Berhenti Kerja & Tidak Bantu Suami, Kata Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri