Dua orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah ditangkap selepas bersekedudukan di sebuah pangsapuri sekitar Meru Raya, Ipoh, Perak pada 1 Julai lalu.
Apa yang mencuri tumpuan, apabila pelajar wanita turut memberi alasan dia takut tinggal bersendirian di rumah kerana kawan yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing.
Pelajar ditangkap bersekedudukan, tinggal di rumah sama lebih seminggu
Serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kira-kira jam 11.30 pagi selepas menerima maklumat awam.
Susulan daripada serbuan itu JAIPk telah menahan pelajar berusia 22 tahun bersama pasangannya yang berusia 20 tahun.
Menurut Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim siasatan yang dilakukan mendapati kedua mereka telah tinggal bersama di rumah terbabit lebih seminggu yang lalu.
Bagi alasan takut tinggal sorang
“Wanita memberi alasan bahawa dia tinggal berseorangan kerana rakan serumahnya pulang ke kampung.
“Bimbang keselamatan diri, dia menumpang di rumah sewa pasangannya kerana kebetulan rakan lelaki tersebut juga balik bercuti,” ujarnya, dipetik Sinar Harian.
Sudah dibebaskan dengan bon jaminan dari penguat kuasa
Jelas beliau lagi, dua pelajar tersebut sudah dibawa ke Pejabat Penguat kuasa JAIPk untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 54(1) dan (2) Enakmen Jenayah (Syariah) 1992.
Mereka bagaimanapun sudah dibebaskan dengan bon jaminan daripada pihak penguat kuasa.
“Pasangan remaja dinasihatkan agar menjaga tingkah laku dan batas pergaulan.
“Masyarakat setempat juga diharap dapat memainkan peranan serta membudayakan amar makruf nahi mungkar dalam mengekang pelakuan maksiat dalam kalangan umat Islam.”