“Keluar Dari Kedai Saya”- Pemilik Restoran Di Vietnam Halau Pelancong Dipercayai Dari Israel [Video]
Menerusi video, pemilik restoran di Vietnam itu telah menghalau pelancong tersebut keluar daripada kedainya dan mengatakan restoran tersebut tidak menerima orang dari negara berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak Oktober tahun lalu, konflik di antara Palestin dan Israel telah menjadi perhatian ramai. Malah konflik yang berlaku itu turut mengorbankan puluhan ribu nyawa tidak berdosa.
Perkara itu secara tidak langsung telah menarik perhatian rata-rata penduduk dunia yang simpati dengan nasib mereka yang berada di Palestin.
Sebagai tanda solidariti ramai yang telah bertindak memboikot produk, syarikat serta mana-mana individu yang menyokong rejim Zionis itu.
Pemilik restoran halau pelancong dipercayai dari Israel
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang pemilik restoran, Railway Tuan di Vietnam namun dia dilihat lebih ‘berani’ dan daring apabila bertindak menghalau satu keluarga pelancong yang dipercayai berasal dari Israel.
Menerusi video yang dimuat naik @thejewishfamily di media sosial, lelaki yang dipercayai pemilik restoran berkenaan telah meminta pasangan suami isteri bersama dua orang anak kecil keluar dari kedainya.
Malah dia turut memaklumkan kepada pelancong yang dikenali sebagai Daniel dan Raizel bahawa kedainya tidak menerima pelancong dari Israel.
“Keluar dari kedai saya. Jangan duduk di situ. Kedai saya tidak menerima orang daripada negara anda (Israel). Saya tidak mengalu-alukan,” katanya.
Kedai hanya ‘terima manusia, anjing dan kucing sahaja’
Dalam satu lagi video yang dimuat naik, pemilik kedai tersebut turut menunjukkan simbol lucah (jari tengah) dan mengatakan mereka hanya mengalu-alukan manusia, anjing dan kucing sahaja di restorannya.
Daniel kemudian bertanya adakah dia dikategorikan sebagai manusia kerana berbangsa Yahudi? Namun soalan itu tidak dijawab, sebaliknya mereka meminta lelaki itu dan keluarganya pergi.
Pemilik restoran itu secara sarkastik juga menzahirkan rasa bimbang sekiranya pelanggan itu masuk ke kedainya akan menyebabkan kedainya dibom.
“Ada kanak-kanak di sini. Nanti bom tiba-tiba datang menuju ke arah anak kecil itu.”
Perkara sama turut dibangkitkan Raizel di dalam video sama.
“Dia (pemilik restoran) memberitahu saya Israel menghantar bom. Hati-hati anak awak kerana Israel mungkin akan menghantar bom,” kata Raizel.
Pelancong dakwa berasal dari Palestin, bangga seorang Yahudi
Pelancong tersebut turut mendakwa dia berasal dari Palestin, ini membuatkan pemilik berkenaan sedikit terkejut dan mula menyambut kehadiran mereka.
“Kamu dari Palestin? Bagus. Selamat datang,” kata pemilik kedai itu.
Daniel kemudiannya menjawab dia seorang Yahudi dan berbangga dengan keturunannya. Ini menyebabkan keadaan di sana menjadi kembali menjadi tegang.
Turut tunjukkan pelekat ‘Free Palestin’
Dalam video sama pemilik kedai Railway Train Cafe itu turut menunjukkan pelekat Free Palestine pada papan tanda restorannya sebagai tanda sokongan terhadap Palestin.
Beberapa individu di restoran itu meminta Daniel untuk tidak mengambil sebarang gambar, namun Daniel mengatakan dia mengambilnya agar tiada siapa yang datang ke kedai berkenaan.
“Anti-zionis adalah Anti-Semitik” – Daniel
Menerusi ruangan kapsyen, Instagram Daniel menyelar pegangan prinsip pemilik kedai berkenaan yang mengatakan dia dia tidak membenci orang Yahudi tapi hanya Zionis.
“Ini adalah penting untuk dikongsikan di mana kita tidak boleh tutup mata dengan realiti. Anti-Zionis adalah Anti-Semitik,” ujar pelancong itu.
Menerusi semakan kami, pasangan berkenaan sebelum ini pernah memuat naik video mempersoalkan prinsip segelintir umat manusia yang percaya bahawa ‘mereka membenci Zionis dan bukannya membenci orang Yahudi’.
Menjengah ke ruangan komen, segelintir pengguna Instagram dilihat menyokong perkongsian pasangan berkenaan.
Namun lebih ramai yang dilihat mengkritik dan menggelar mereka sebagai ‘play victim’ sambil mengangkat peniaga berkenaan sebagai hero.
Ini kerana pemilik restoran berkenaan dari awal hanya menegaskan dia membenci ‘Israel’ dan bukannya bangsa Yahudi atas perbuatan rejim itu terhadap rakyat Palestin.