
Pemuda Gaji RM4,000 Menyesal Beli Kereta Harga Lebih RM100,000, Kini Bergelut Bayar Hutang
Keadaan itu bertambah buruk apabila pemuda berkenaan terpaksa menggunakan kad kredit untuk menanggung komitmen bulanan sedia ada termasuk Honda Civic.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap manusia pastinya mempunyai keinginan tersendiri, namun untuk mendapat apa yang diimpikan itu perlulah melihat keupayaan kewangan sendiri.
Bak peribahasa,’ukur baju di badan sendiri’.
Jika tersalah langkah dalam menguruskan kewangan dan pembelanjaan, pasti akan menyesal di kemudian hari.
Pemuda menyesal beli Civic baru, niat nak flex tapi terpaksa struktur semula kewangan
Seperti seorang pemuda berusia 26 tahun ini, dia terpaksa membuat penstrukturan semula kewangannya selepas membuat keputusan salah dalam membeli kereta idamannya.
Menurut Harian Metro, pekerja swasta yang dikenali sebagai Mohamad itu berkata dia membeli sebuah kereta Honda Civic yang berharga lebih RM100,000 semata-mata ingin mendapatkan perhatian rakan-rakannya.
“Saya ingat dengan kita beli kereta Honda Civic ini, dapatlah kita tunjuk kepada rakan lain.
“Tapi sebaliknya berlaku. Baru saya sedar selepas saya beli kereta, ia menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung hutang bulanan lain,” katanya.

Gaji bulanan hanya RM4,000 jadi faktor utama tak mampu tanggung hutang
Menurutnya, gaji bulanan yang diperolehi sekitar RM4,000 sahaja merupakan faktor utama dia tidak mampu untuk menanggung hutang sedia ada.
Pemuda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata lagi, pendapatan yang diperolehnya tidak mampu menampung bil-bil selain bayaran bulanan kereta yang disifatkannya membebankan.
“Gaji saya sekitar RM4,000 sahaja. Jadi, saya ingatkan dengan membeli kereta berharga lebih RM100,000 itu tak mengapa. Tapi disebabkan saya tinggal di Kuala Lumpur, gaji itu sebenarnya tak setimpal dengan kereta yang saya beli.
“Ini kerana kos-kos lain setiap sebulan yang saya perlu bayar seperti sewa rumah, bayaran tempat letak kenderaan, insurans diri, tol dan makan minum.
“Selain itu, saya juga kena bayar insurans kereta, cukai jalan dan servis kereta yang mahal. Duit gaji sebenarnya tak cukup,” katanya lagi.
Terpaksa guna kad kredit untuk tanggung bayaran hutang bulanan
Menurutnya lagi, keadaan itu bertambah buruk apabila dia juga menggunakan kad kredit untuk menanggung bayaran hutan bulanan sedia ada.
“Ada kalanya saya tak mampu nak bayar hutang itu. Bila saya tak mampu bayar, saya guna kad kredit pula untuk tampung belanja bulanan.
“Saya rasa inilah keputusan salah menyebabkan saya terpaksa membuat penstrukturan semula hutang,” jelas Mohamad.
Lelaki ‘restructure’ hutang selepas buat pinjaman untuk majlis kahwin
Selain itu, seorang lagi individu juga terpaksa membuat penstrukturan semula hutang gara-gara membuat pinjaman peribadi bagi majlis perkahwinannya.
Dia yang dikenali sebagai Azizul berkata, terpaksa berbuat demikian untuk menanggung perbelanjaan majlisnya.
“Saya nak berkahwin dalam masa setahun. Dengan saya tidak mempunyai simpanan kewangan, apa pilihan saya ada?
“Gaji bulanan yang saya perolehi kira-kira RM2,850 sahaja. Bagaimana pula dengan kos bulanan yang perlu ditanggung? Contohnya seperti kos sewa rumah, kereta, bil telefon dan makan minum,” kata Azizul.