Dakwaan Wujud Tiang Nabi Khidir Bersandar Di Terengganu Cetus Perdebatan, JHEAT Mulakan Siasatan [Video]
Beberapa pengunjung surau turut dilihat menyentuh tiang yang dikatakan menjadi tempat persandaran Nabi Khidir AS bagi tujuan mengambil berkat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui antara salah satu Rukun Iman adalah percaya kepada Nabi dan Rasul. Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk mengetahui sekurang-kurangnya 25 orang Nabi dan Rasul.
Namun selain daripada 25 orang tersebut, terdapat nabi serta rasul yang lain yang pernah wujud antaranya seperti Nabi Khidir AS.
Nabi Khidir Didakwa Pernah Datang Ke Terengganu
Terbaharu, tular di TikTok satu video yang mendakwa wujudnya sebatang tiang di sebuah surau yang menjadi tempat persandaran Nabi Khidir AS ketika bertemu ulama besar Terengganu iaitu Allahyarham Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh suatu masa dahulu.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok @disebaliktiraimimpi, kelihatan beberapa pengunjung hadir ke surau tersebut bagi melihat tiang yang dimaksudkan.
Malah, turut terdapat seorang individu sedang memberi penjelasan yang dipercayai berkaitan Nabi Khidir AS.
Apa yang turut menjadi perhatian adalah kelihatan beberapa pengunjung surau menyentuh tiang itu yang ditandakan dengan jam bagi tujuan mengambil keberkatan.
Video Cetus Perdebatan Pengguna TikTok
Video tersebut nyata menarik perhatian ramai hingga mencetuskan perdebatan di ruangan komen.
Rata-rata pengguna TikTok mempersoalkan kesahihan kedatangan Nabi Khidir AS ke surau itu.
Malah, ada yang turut menyatakan kerisauan sekiranya ada segelintir individu akan melakukan perkara tidak elok terhadap tiang tersebut seperti menciumnya.
Memetik Majoriti, video tersebut merupakan video lama yang pernah dikeluarkan pada tahun 2019 namun ditularkan kembali pada tahun ini.
JHEAT Siasat Dakwaan Wujud Tiang Nabi Khidir AS Bersandar
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) M Rozi Bidin memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu.
Malah, dakwaan yang tular itu akan dirujuk kepada Mufti Terengganu bagi tindakan selanjutnya.
“JHEAT memandang serius tentang dakwaan kewujudan fahaman tersebut yang dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Siapa Tokku Paloh?
Untuk info, Tokku Paloh merupakan seorang agamawan dan ulama tersohor di Terengganu. Beliau turut dikenali sebagai Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu.
Tokku Paloh dilahirkan pada tahun 1817 bersamaan 1233 Hijrah dan berketurunan Ahlil Bayt Rasulullah dan merupakan generasi yang ke-36 daripada Baginda SAW beraqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie.
Beliau mendapat pendidikan awal agama daripada bapanya sendiri yang juga merupakan tokoh ulama terkemuka di negeri itu Tok Ku Tuan Besar atau nama sebenarnya Sayyid Muhammad Zainal Abidin Al-Idrus dan ibunya Tokku Tuan Besar Hajah Amina.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Macam Mana Tahu Nabi Khidir Pernah Datang Situ? Maaf Ambo Jahil Bab Ni”
“Bukan Sembah Pun Tiang Tu, Cuma Lihat Tiang Yang Dipercayai Nabi Khidir AS Hadir”
“Nabi Khidir Datang Terengganu Ke? Confused La”
Baca Artikel Berkaitan: Terengganu Haramkan Ajaran Mhd. Mohib Khouli Nazem Kerana Bercanggah Dengan Akidah
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Pengikut Dakwa Nabi Muhammad Itu Allah, Ini Info Mengenai Ajaran Sesat Si Hulk