
Anak Autisme, Sindrom Down Wajib Khatan, Kata UAI [Video]
Menurut UAI, khatan tidak akan menjejaskan atau memudaratkan kesihatan mereka malah ia adalah satu cara untuk menyihatkan tubuh badan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Merujuk kepada portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), autisme dan sindrom down dikategorikan sebagai salah satu kurang upaya pembelajaran.
Autisme merupakan gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat manakala sindrom down pula adalah kecacatan fizikal dan mental disebabkan oleh masalah genetik yang berlaku sebelum kelahiran.
Lazimnya, keadaan ini boleh membuatkan seseorang itu berkelakuan berbeza daripada orang biasa. Malah, golongan ini juga diberi kelonggaran dari melakukan perkara syarak seperti solat dan puasa kerana keadaan mereka itu.
Wajib Khatan Bagi Kanak-Kanak Autisme & Sindrom Down
Namun penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan, golongan autisme atau sindrom down baik lelaki mahupun perempuan diwajibkan untuk menjalani ibadah khatan atau khitan.
“Ya wajib, kerana berkhatan itu wajib ke atas lelaki dan perempuan,” katanya.
UAI menjelaskan perkara tersebut ketika menjawab soalan seorang individu yang bertanyakan sama ada anak lelakinya berusia 11 tahun yang menghidap autisme perlu dikhatankan walaupun tidak pandai bercakap, sukar untuk menguruskan diri dan kurang berakal.
Khatan Tidak Akan Memudaratkan Kesihatan
Jelas beliau, perbuatan itu tidak akan menjejaskan atau memudaratkan kesihatan mereka malah ia adalah satu cara untuk menyihatkan tubuh badan.
“Khatankanlah anak-anak autisme, sindrom down ini. Kalau boleh khatan awal, dua tahun atau enam bulan lebih baik.
“Kerana anak ini berkemungkinan dia akan sembuh dan kalau dia sembuh maknanya dia sudah berkhatan dalam keadaan bersih.
“Memanglah apabila dia tidak ada akal yang sempurna tidak ada kewajipan syarak untuk solat dan sebagainya tetapi jika dia sembuh, dia sembuh dalam keadaan sudah pun berkhatan,” jelasnya lagi.
Boleh Tunggu Masa Sesuai
Berdasarkan laman web Jabatan Mufti Selangor, anak yang mempunyai masalah mental atau kurang upaya, tuntutan berkhitan masih tetap dituntut untuk dilaksanakan oleh wali atau penjaganya.
Namun, ia hanya boleh dilakukan jika keadaan mental dan fizikal kanak-kanak itu mengizinkan dan tidak dibimbangi akan memudaratkannya.
“Jika dikhuatiri akan memudaratkannya, gugurlah kewajipan khitan tersebut. Wali atau penjaga hendaklah menunggu masa yang sesuai untuk mengkhitankannya.
“Jika keadaan anak berterusan lemah, gugurlah kewajipan khitan itu darinya,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Nyanyi Qunut Nazilah Ketika Berkhatan Undang Perhatian Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Langsung Tak Nangis, Kanak-Kanak Berbangsa India Bersahaja Ketika Bersunat Raih Pujian Ramai [Video]