Terkini: Syed Saddiq Mohon Maaf, Terima Keputusan Di 113 Triathlon Desaru Jadi DNF [Video]
Menurut Syed Saddiq, apa yang berlaku adlah satu kesilapan yang tidak disengajakan dari pihaknya dan turut diakui penganjur 113 Series Triatlon Desaru.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam (9 Julai), tular di media sosial kontroversi kemenangan tempat ketiga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dalam acara 133 Series Triathlon Desaru bagi kategori lelaki 30 hingga 39 tahun yang diadakan pada hujung minggu lalu.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, bekas Menteri KBS itu berjaya mencatatkan masa selama 5 jam 44 minit untuk berenang, berbasikal dan berlari sejauh 113 kilometer (Km).
Individu dakwa sertai acara larian persoal kemenangan Syed Saddiq
Bagaimanapun, di ruangan komen terdapat akaun bernama @joshua.izham yang mempersoalkan kemenangan Syed Saddiq di tempat ketiga.
Dia yang mendakwa turut menyertai acara terbabit berkata Syed Saddiq berada di belakangnya ketika berenang dan tidak pernah melihat ahli politik itu memotongnya semasa berbasikal pula.
Namun, dakwanya Syed Saddiq secara tiba-tiba berada di hadapanya semasa larian sejauh 21.1km. Komen individu berkenaan kemudiannya menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.
Syed Saddiq tampil beri penjelasan
Syed Saddiq kemudiannya tampi menerusi satu hantaran video di akaun media sosial miliknya untuk memberi penjelasan.
Menurutnya, mengenai rekod yang dicatatkan dalam kategori berbasikal, beliau telah memeriksa dengan pasukan teknikal semasa perlumbaan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sejujurnya, apabila saya menyertai triatlon, ia adalah untuk kesihatan mental dan peningkatan diri saya. Ia bukan tentang pingat atau piala,” katanya.
Menurutnya lagi, sebagai seseorang yang baru dalam triatlon dan berjaya menghabiskan perlumbaan 113km, acara itu benar-benar telah mengubah hidupnya.
Bagaimanapun, penjelasan yang diberikan itu masih mendapat kritikan dan diragui segelintir pihak memandangkan rekod yang dicatatkannya agak luar biasa untuk seorang peserta baharu.
Semakan kami di laman keputusan 113 Series mendapati status Syed Saddiq telah bertukar menjadi DNF (Did Not Finish) atau tidak menamatkan perlumbaan.
Syed Saddiq tampil mohon maaf
Terbaharu, Syed Saddiq tampil memohon maaf kepada semua komuniti triatlon dan mengakui terdapat kesilapan berhubung catatan masa. Ini selepas beliau menerima data lengkap dan kemaskini yang dimintanya.
“Ini adalah pecahan terperinci bagi setiap pusingan (lap by lap) pada semua ‘checkpoint’ yang baru saya terima daripada pasukan teknikal.
“Selepas melakukan rujuk silang dengan data pada ‘I watch’ saya, jelas terdapat kesilapan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk perkara itu,” katanya.
Difahamkan berlaku kesilapan teknikal pada catatan jarak perlumbaan sewaktu disiplin basikal.
Menurut Syed Saddiq, sewaktu sesi itu dia telah menghabiskan perlumbaan lebih awal berbanding jangkaan, lalu merujuk kepada pasukan teknikal untuk pengesahan.
Dua orang pegawai yang ditugaskan telah mengesahkan tiada kesilapan justeru dia dibenarkan untuk meneruskan acara seterusnya.
“Namun menerusi data terkini yang dikeluarkan, terdapat kesilapan pada pusingan pertama (loop pertama) di mana jumlah akhir keseluruhan jarak berbasikal adalah 72 kilometer yang sepatutnya 90 kilometer bagi tiga pusingan,” ujar Syed Saddiq.
Tambahnya lagi, ini adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan dari pihaknya.
“Meskipun telah melakukan semakan semula semasa perlumbaan dan memaklumkannya kepada pasukan teknikal, (tapi) sebagai peserta saya sepatutnya lebih bertanggungjawab.
“Saya memohon maaf sepenuhnya kepada komuniti triatlon,” katanya lagi.
Setuju status perlumbaannya kini menjadi DNF
Malah, Syed Saddiq juga bersetuju status perlumbaannya dalam acara tersebut kini menjadi DNF.
“Ya, saya seorang yang baru dan saya berharap untuk menjadi lebih baik. Selepas bercakap dengan penganjur dan wakil teknikal, adalah lebih baik status saya menjadi DNF.
“Mereka (penganjur) juga mengakui bahawa ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan.
“Saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang dan akan berkerjasama rapat dengan komuniti (triatlon) untuk belajar dan menjadi lebih baik kerana ini merupakan sukan yang benar-benar saya suka,” ujar Syed Saddiq.
Menerusi pemerhatian kami, Syed Saddiq sudah memadam hantaran semasa memenangi tempat ketiga dalam acara itu dan video penjelasan yang diberikannya sebelum ini.
Hello friends,
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) July 10, 2024
I have the latest update & data as requested,
this is the most detailed breakdown lap by lap at every checkpoint which i just received from the technical team.
After cross referencing this with my I watch data, there clearly was a mistake.
And i take full… pic.twitter.com/x6e9w8SeeI