MINI Lancar Keluarga MINI Baharu Termasuk Model Elektrik Penuh, Harga Bermula Dari RM198,888
Generasi baharu MINI ini jelas menandakan langkah penting syarikat itu ke arah mobiliti bandar yang bebas emisi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (12 Julai), BMW Group Malaysia dan jenama automotif kompak terkenal, MINI telah melancarkan barisan keluarga MINI baharu untuk pasaran di Malaysia.
Dalam majlis pelancaran yang diadakan JioSpace, Petaling Jaya, MINI buat kali pertamanya turut melancarkan kenderaan elektrik penuh (EV) mereka di negara ini.
Generasi baharu MINI ini jelas menandakan langkah penting syarikat itu ke arah mobiliti bandar yang bebas emisi.
MINI Cooper SE kini di Malaysia!
Membuat kemunculan di Malaysia buat julung kalinya pada Acara Pelancaran Keluarga MINI Baharu adalah MINI Cooper SE.
Model terkini serba elektrik dalam Keluarga MINI Baharu ini meneruskan kejayaan MINI Cooper yang ikonik, yang merupakan ikon utama MINI sepanjang generasi.
Ditampilkan bersamanya pada acara tersebut adalah tiga model generasi baharu MINI yang lain iaitu MINI Countryman SE ALL4 Elektrik, MINI John Cooper Works (JCW) Countryman ALL4 Baharu dan MINI Cooper S 2024.
MINI Cooper SE Kekalkan rekaan asli dengan sentuhan moden
MINI Cooper SE Baharu yang menampilkan rekaan asli ini angkat terus mengangkat warisan jenama tersebut.
Bahagian gril hadapan berbentuk oktagon menampilkan kontur yang kompleks tapi unik, memberikan titik tumpuan yang lebih menarik. Gril ini menempatkan sensor radar terkecil dalam kalangan semua model BMW Group.
Lampu LED hadapan MINI Cooper SE ini pula didatangkan dengan ‘bantuan pancaran tinggi’ (auto high-beam) dilengkapi tiga corak cahaya tersendiri yang boleh dipilih, masing-masing diakhiri dengan animasi selamat datang atau selamat tinggal yang unik.
Lampu belakangnya juga menggunakan LED sepenuhnya selain rekaan yang dihasilkan juga kelihatan lebih segar berbanding model sebelumnya.
Rekaan kabin dalaman MINI Cooper SE sangat menyenangkan
Bahagian dalamnya pula hanya menyerlahkan keperluan asas, menampilkan komponen yang lebih minimal namun setiap satunya direka dengan bijak dan berkualiti tinggi.
Tidak hanya itu, ia juga didatangkan dengan paparan OLED bulat berukuran 240mm dengan antara muka yang dioptimumkan untuk sentuhan menggabungkan pelbagai elemen kawalan.
Di sekelilingnya terdapat permukaan melengkung yang dihiasi dengan material lembut untuk memupuk suasana keseluruhan yang selesa dan menyenangkan.
Menambahkan suasana dalaman adalah Mod MINI Experience, yang menggunakan grafik cahaya khusus untuk meningkatkan pengalaman pemanduan yang mengasyikkan, serta sistem bunyi sekeliling Harman Kardon.
MINI Cooper SE kecil-kecil cili padi, macam bawa go-kart
MINI Cooper SE ini menghasilkan 218 hp dan tork 330 Nm, yang membolehkan kereta kompak ini memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 6.7 saat sahaja dengan had laju maksimum 170 km/j.
Model EV ini juga mempunyai kelebihan pada lebar trek dan jarak tayar yang dipertingkat, di samping konfigurasi spring dan peredam (damper) yang diselaraskan dengan teliti untuk memberikan pengendalian yang lincah.
Lebih menarik lagi, MINI Cooper SE ini juga didatangkan dengan mod pemanduan go-kart untuk menambahkan lagi keseronokan ketika ia dipandu.
Dengan kapasiti bateri kasar sebanyak 54.2 kWj, MINI Cooper SE Baharu mencapai jarak emisi sifar antara 387 sehingga 402 kilometer dengan sekali cas.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia teruja perkenal keluarga MINI baharu
Sementara itu, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, pihaknya amat teruja untuk memperkenalkan keluarga MINI baharu ini di Malaysia dengan rekaan semula dan barisan model yang mengujakan.
“MINI terus memberi inspirasi dengan reka bentuk ikonik dan keseronokan pemanduan di bandar yang tersendiri, sambil mengambil langkah berani meneroka masa hadapan yang serba elektrik.
“Mengangkat visi ini pada Acara Pelancaran Keluarga MINI Baharu hari ini, kami berharap dapat memperlihatkan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya para pengembara urban tentang nilai-nilai yang mentakrifkan MINI,” katanya.
Harga 4 model terbaharu MINI
Empat model terbaharu MINI ini secara rasminya dijual dengan harga bermula RM193,888 sehingga RM389,888.
Berikut senarai harganya termasuk SST (tanpa insurans):
MINI Cooper SE Baharu | RM 193,888.00 |
Tambahan Waranti Lanjutan & Pakej Servis | RM6,300.00 |
MINI Cooper S Baharu | RM279,888.00 |
Tambahan Waranti Lanjutan & Pakej Servis | RM10,400.00 |
MINI Countryman SE ALL4 Baharu | RM258,888.00 |
Tambahan Waranti Lanjutan & Pakej Servis | RM7,400.00 |
MINI JCW Countryman ALL4 Baharu | RM389,888.00 |
Tambahan Waranti Lanjutan & Pakej Servis | RM12,100.00 |
Untuk maklumat lanjut mengenai keempat-empat model baharu MINI ini, sila layari laman web rasmi MINI.