Rakan Enggan Ambil Gambar, Kanak-Kanak Selfie Sendiri Dengan Medal Lepas Menang Badminton Undang Sebak [Video]
Menerusi video, kelihatan rakan-rakan enggan membantu Nubhan untuk mengambil gambarnya bersama hadiah dan medal dimenangi untuk acara badminton.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap individu pastinya mengimpikan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi termasuklah sukan.
Malah sukan juga turut mengajar seseorang khususnya kanak-kanak untuk meletakkan matlamat seperti kemenangan, sifat berpasukan dan sebagainya.
Oleh itu, apabila mengecapi sesebuah kemenangan atau kejayaan pasti momen itu perlu dirakam sebagai kenangan menerusi gambar, video dan sebagainya.
Kanak-kanak jadi perhatian kerana cuba selfie sendiri lepas menang pertandingan badminton
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai baru sahaja bergelar juara dalam satu pertandingan badminton.
Menerusi video yang dikongsikan Ace Badminton di TikTok, awalnya kelihatan kanak-kanak yang dikenali sebagai Nubhan sedang menyusun hadiah, medal serta sijilnya di tengah-tengah gelangang badminton.
Rakan tak nak tolong ambilkan gambar untuk kenangan
Tidak lama selepas itu, kelihatan dia seperti memanggil rakan-rakan untuk membantu merakamkan gambarnya bersama hadiah berkenaan.
Walau bagaimanapun kelihatan rakan-rakan yang berada di kawasan tersebut enggan untuk membantunya.
Tak putus asa cuba ambil sendiri, guna selipar sebagai ‘stand’
Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk tetap merakamkan kenangan bersama kemenangan yang telah dikecapi.
Nubhan kemudian dilihat gigih apabila cuba menggunakan kaki dan juga selipar sebagai ‘stand’ pengganti tripod untuk meletakkan telefon agar gambarnya boleh ditangkap.
Selesai merakamkan gambar bersama hadiah kemenangannya, dia kemudian dilihat memakai selipar semula dipercayai ingin beredar dari gelanggang berkenaan.
Ramai tersentuh hati lihat tak ada orang tolong kanak-kanak ambil gambar
Gelagat Nubhan yang mencuba sedaya-upayanya untuk merakamkan gambar dengan hadiahnya itu secara tidak langsung telah membuatkan ramai sebak dan tersentuh.
Ini kerana tiada seorang pun rakan yang ingin membantu untuk mengambil gambarnya selepas memenangi pertandingan tersebut.
Malah ada juga yang ingin memberikan kanak-kanak berkenaan hadiah serta mendoakannya untuk terus berjaya dalam sukan yang diceburinya.
Tidak kurang juga ada yang mengatakan apabila Nubhan sudah berjaya dalam sukan itu pasti ramai yang ingin bergambar dengannya.