
Batal Solat Jika Telan Kahak Yang Telah Sampai Ke Pangkal Lidah Atau Puncak Tekak – Dr Zulkifli Al Bakri
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjawab persoalan itu ketika ditanya oleh seorang individu yang sering terbatuk ketika menunaikan solat dan terpaksa menelan kahak menerusi aplikasi Al Inarah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Solat merupakan rukun Islam yang kedua dan ibadah wajib yang perlu dilaksanakan oleh setiap Muslim.
Walaupun seseorang itu sedang berada dalam keadaan yang tidak sihat seperti demam atau batuk, mereka wajib menunaikan perintah Allah SWT yang satu ini.
Namun tahukah anda, sekiranya seseorang itu tidak sihat dan sedang mengalami batuk berkahak, perbuatan menelan kahak sebenarnya boleh membatalkan solat.
Telan Kahak Boleh Batalkan Solat
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kahak yang telah sampai ke had zahir mulut tidak boleh ditelan ketika sedang menunaikan solat.
Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan sekiranya seseorang itu menelan juga kahaknya maka solat tersebut terbatal apatah lagi jika kahak telah sampai ke lidah.
Bahagian zahir mulut yang dimaksudkan adalah makhraj huruf Kha’ (خ) iaitu bahagian puncak tekak (tekak yang paling dekat dengan lidah).
Memetik laman Buku Dr Zul sendiri, ada juga pendapat lain yang menyatakan makhraj huruf Ha’ (ح) iaitu pertengahan tekak/halkum.
Telan Kahak Ketika Solat Sama Seperti Hukum Telan Kahak Ketika Berpuasa
Jelas Dr Zulkfli lagi, antara perkara yang membatalkan solat adalah makan dan minum dengan sengaja serta memasukkan sesuatu ke dalam rongga mulut sama ada sedikit ataupun banyak.
“Perkara ini merupakan ijma para ulama seperti dinukilkan oleh Imam Ibn al-Munzir dalam kalangan ulama Mazhab al-Syafi’i.
“Menelan kahak adalah termasuk dalam perbuatan ini. Hukum telan kahak ketika solat adalah sama dengan hukum telan kahak ketika berpuasa. Ini merupakan persamaan antara hukum solat dengan hukum puasa,” katanya
Tidak Batal Sekiranya Kahak Masih Berada Di Halkum & Ke Dalam
Pendapat yang sama turut dinyatakan oleh pihak Jabatan Mufti Selangor berhubung hukum seseorang itu menelan kahak ketika sedang menunaikan solat.
Namun mereka berpendapat tidaklah batal solat seseorang jika menelan kahak yang masih berada dalam halkum dan ke dalam.
Bawa Tisu Atau Sapu Tangan Untuk Buang Kahak
Dr Zulkifli turut menasihatkan agar individu yang ingin solat membawa tisu atau sapu tangan bagi membuang kahak yang ada.
“Kami mencadangkan agar membawa tisu atau sapu tangan di dalam poket, untuk meludahkan kahak sekiranya diuji dengan kerap batuk dan banyak mengeluarkan kahak.
“Jangan meludah ke arah kiblat atau ke arah kanan. Ini selaras dengan sabdaan Nabi SAW diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bermaksud, apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan kiblat.
“Maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) di sebelah kirinya atau di bawah kakinya.
“Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendang dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda ‘atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini’,” katanya.
Beliau menjawab soalan itu ketika ditanya oleh seorang individu yang sering terbatuk ketika menunaikan solat dan terpaksa menelannya menerusi aplikasi Al Inarah.

Tisu Yang Sudah Digunakan Boleh Letak Dalam Poket
Menurut Ustaz Azhar Idrus (UAI) pula, tisu berkenaan yang telah digunakan boleh diletakkan di dalam poket baju.
Sekiranya tiada tisu, kahak tersebut boleh dikeluarkan dan diludah pada lengan baju bahagian kiri.
Perbuatan itu tidak membatalkan solat kerana kahak bukanlah najis.
Baca Artikel Berkaitan: Tahi Cicak Boleh Batalkan Wuduk? Ini Penjelasan Dr Zul
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu e-Hailing Beragama Islam Tidak Boleh Hantar Penumpang Ke Tempat Maksiat -Dr Zulkifli Al Bakri