Sudah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan Muharam dengan satu amalan iaitu berpuasa sunat pada 10 Muharam. Mengikut kalender Islam pada tahun ini, ia akan jatuh pada besok (16 Julai).
Puasa sunat ini juga dikenali sebagai puasa Hari Asyura merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Amalan yang boleh dilakukan ketika Hari Asyura
Susulan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar berkongsi amalan yang boleh dilakukan ketika Hari Asyura selain daripada berpuasa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Ustaz Wadi berkata umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada 9 Muharam iaitu Puasa Tasua’.
Menurutnya, makruh hukumnya jika seseorang umat Islam itu hanya berpuasa pada 10 Muharam sahaja kerana kita turut digalakkan berpuasa pada 9 atau 11 Muharam.
Selain itu, beliau berkata umat Islam juga disunatkan untuk membelanjakan ahli keluarga pada 10 Muharam.
“Banyak yang tidak tahu disunatkan di sisi empat mazhab untuk seseorang tawassu’ (berbelanja ke atas ahli keluarganya) pada Hari Asyura,” katanya.
Di dalam sebuah hadis disebutkan:
من وسَّع على أهلِه يومَ عاشوراءَوسَّع اللهُ على أهلِه طُولَ سنتِه
“Barang siapa yang meluaskan belanja untuk keluarganya di hari Asyura (tanggal 10 Muharam), maka Allah akan luaskan dia sepanjang tahunnya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh imam al-Baihaqi dari banyak jalur para sahabat Rasulullah Saw dan Imam al-Baihaqi berkata:
قال البيهقي:هذه الأسانيد وإن كانت ضعيفة فهي إذا ضم بعضها الى بعض أخذت قوة والله أعلم
“Sanad-sanad hadits ini, walaupun lemah, namun jika dihimpun sebagian dengan sebagian yang lain, maka menjadi kuat.”
Kelebihan lakukan amalan pada Hari Asyura
Menurutnya lagi, antara kelebihan berpuasa pada 10 Muharam adalah dosa diampunkan setahun sebelumnya.
Jelas Ustaz Wadi, amalan belanja ahli keluarga pada hari tersebut juga akan dimurahkan rezeki pada tahun tersebut.