
Singapura Catat Bilangan Bayi Dilahirkan Terendah Dalam Tempoh 50 Tahun
Berdasarkan statistik kelahiran dan kematian di laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), jumlah kelahiran sebanyak 33,541 pada 2023 itu adalah yang terendah sejak 1971.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan yang berkahwin, pasti mempunyai impian untuk memiliki cahaya mata dan membina sebuah keluarga kecil bersama.
Pun begitu, ada sesetengah suami isteri yang memilih untuk merancang keluarga dengan tidak memiliki anak di awal perkahwinan atas faktor kekangan kewangan dan masa.
Tidak dinafikan, perkara ini sekali gus memberi kesan terhadap bilangan bayi yang dilahirkan mengikut tahun.
Singapura catat kejatuhan bilangan bayi pada 2023
Baru-baru ini, Singapura dilaporkan mencatat kejatuhan bilangan bayi yang dilahirkan terendah untuk tempoh sekurang-kurangnya 50 tahun.
Menurut Harian Metro yang memetik The Straits Times, ia berdasarkan ‘Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2023’ yang diterbitkan pada 11 Julai lalu.
Dalam laporan itu, jumlah bayi yang dilahirkan pada 2023 adalah sebanyak 33,541 di mana ia menurun 5.8% berbanding 2022 dengan jumlah 35,605 kelahiran.
Angka kelahiran yang dicatatkan pada tahun lepas juga dilihat menurun sebanyak 13.3% jika dibandingkan pada 2021 iaitu sebanyak 38,672 kelahiran.
Menurut The Straits Times lagi, berdasarkan statistik kelahiran dan kematian di laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), jumlah kelahiran pada 2023 itu adalah terendah sejak 1971 yang mencatatkan 47,088 kelahiran bayi.

Kadar kesuburan penduduk Singapura jatuh
Pada Februari lalu, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) penduduk Singapura dilaporkan jatuh di bawah satu buat kali pertama dalam sejarah republik itu, meskipun bilangan sebenar bayi yang dilahirkan pada 2023 tidak dinyatakan.
TFR yang merujuk kepada purata bilangan bayi setiap wanita sepanjang tempoh reproduktif mereka adalah 0.97 pada 2023, iaitu antara yang terendah di dunia.
Sekadar info, ICA merupakan jabatan penguatkuasa di Singapura yang bertanggungjawab menguruskan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2021 (RBDA 2021).

Di Malaysia, bilangan kelahiran pada suku tahun pertama 2024 merekodkan penurunan sebanyak 9.4% iaitu 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada suku pertama 2023, lapor Kosmo.